HiburanSemasa

Filem Syahadan : Dato’ Awie ucap selamat maju jaya kepada Al Jufferi Jamari

Debaran Syahadan, filem pertama terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mengangkat tema seni mempertahankan diri Melayu iaitu silat, kian terasa.

Filem ini akan menggempurkan pawagam lebih kurang seminggu sahaja lagi atau tepatnya pada 17 Februari 2022.

Para peminat filem silat pasti sudah ternanti-nanti mahu menyaksikan karya Datuk Dr. Fairus Hussain (FDAM), dan Halim Hassan kerana filem ini berani mengetengahkan warisan budaya Melayu yang selama ini dipandang sepi oleh industri hiburan.

Filem Syahadan turut mendapat perhatian pelakon dan penyanyi tanah air yang terkenal, Dato’ Awie yang turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju buat pelakon utamanya, Juara Silat Dunia saudara Al Jufferi Jamari.

“Semoga berjaya dalam filem pertama ini semoga berjaya dalam semua babak diberikan in sha Allah selamat maju jaya saya doakan kepada semua kru dan diharapkan semua berjalan dengan lancar,” katanya.

Pihak penerbit mengharapkan sokongan rakyat Malaysia kerana seringkali juga kita mendengar keluhan dari penonton terhadap genre filem Melayu yang teralalu tertumpu pada tema cinta, seram, dan komedi.

Kali terakhir peminat filem Malaysia dapat menyaksikan filem yang mempunyai elemen yang sama adalah filem Geran yang ditayangkan pada 2019 lalu.

Geran berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 di atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

Pihak penerbit mengharapkan Syahadan akan mengikuti jejak langkah itu.


Sinopsis Filem Syahadan

Syahadan mengisahkan tentang seorang remaja bernama Omar yang hidup tanpa matlamat yang sebenar. Ini menyebabkan ayahnya terpaksa menghantar Omar ke kampung untuk dibaiki akhlaknya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.

Omar pada mulanya menentang dan tidak berminat mempelajari silat. Namun hatinya terbuka setelah gurunya Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata di warung Kak Milah.

Di sepanjang sesi latihan silat bersama Pak Daud, Omar terpaksa berhadapan dengan cabaran latihan fizikal dan mental untuk membina jatidiri sebagai orang silat.

Setelah berjaya mewarisi ilmu persilatan, suatu hari Omar berdepan dengan kumpulan samseng yang merupakan sindiket penculikan kanak-kanak yang diketuai oleh Zed Punk.

Berjayakah Omar menumpaskan kumpulan samseng berkenaan?

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button