HiburanSemasa

Filem Syahadan : Al Jufferi Jamari dari gelanggang silat ke gelanggang filem

Pada Sukan SEA 2018 di Jakarta Indonesia, pesilat Malaysia Al Jufferi Jamari sedang berhadapan dengan jaguh handalan Indonesia, Komang Harik Adi Putra pada pertarungan akhir silat penentuan pingat emas, Kelas E Putra. Iaitu kelas khusus untuk pesilat yang berat 65 hingga 70 kilogram.

Al Jufferi Jamari adalah juara bertahan pada edisi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, dengan menewaskan Pham Tuan Anh jaguh handalan dari Vietnam.

Gambar silat.net

Sebelum itu Al Jufferi Jamari juga adalah juara daripada dua kejohanan dunia yang berbeza, iaitu 16th World Silat Championship dan World Martial Art Championships di Thailand.

Reputasi itu yang dibawa oleh Al Jufferi ke gelanggang, tetapi kali ini dengan suasana sangat berbeza. Al Jufferi berada di gelanggang lawan dengan ribuan penonton yang menyorak Komang Harik Adi Putra sehingga semangat Komang menjulang.

Pada pusingan pertama, Al Jufferi ketinggalan dengan mata 1-4 kepada lawan. Gerak langkah lawan terlalu bersemangat tetapi Al Jufferi adalah juara dunia dan tahu apa yang perlu dia lakukan pada pusingan kedua.

Langkah kembali diperkemaskan. Matanya tajam dan geraknya pantas. Dia berjaya mendahului 3-2 dan lawan mula merasakan kekuatan seorang Al Jufferi.

Kemudian tibalah pusingan terakhir, dan ketika itulah segala-galanya serba tidak kena. Walaupun setiap tendangan dan tumbukan mengenai pihak lawan, tetapi juri tetap tidak memberikannya mata dan kerana merasakan maruah tercalar, Al Jufferi sebagai anak jantan keluar gelanggang ketika perlawanan berbaki dua saat.

Untuknya maruah diri dan negera perlu diutamakan.

Kejuaraan terlepas kepada Komang Hari Adi Putra.

Kekecewaan itu berlarutan sehingga ke bilik persalinan dan menjadi sensasi di Malaysia juga Indonesia apabila ada klip beliau melepaskan rasa kecewa sehingga tanpa sengaja merosakkan dinding di bilik itu.

Al Jufferi sedar kesilapan dan segera memohon maaf kepada seluruh peminat sukan Malaysia dan Indonesia. Beliau berjanji akan bangkit pada masa hadapan.

Kini pesilat yang sempat menjadi bualan peminat Nusantara itu kembali beraksi di gelanggang. Bezanya kali ini dia beraksi di gelanggang filem sebagai Omar, seorang anak muda yang panas baran dan tidak jelas dengan matlamat hidupnya.

Yang kemudian anak muda itu dihantar oleh ayahnya untuk berguru dengan seorang jaguh silat di kampung dan konflik sebenar hidupnya pun bermula. Ini kerana silat bukan sekadar tentang kekuatan fizikal, tetapi ia juga sangat menjunjung tinggi akhlak terpuji, yang lahir daripada jiwa bersih dan akal yang sihat.

Omar diuji bukan hanya pada zahirnya tetapi juga pada jiwa raganya. Ujian dan cabaran yang sangat berat.

Mampukan Omar menghadapi segala cabaran itu?

Filem Syahadan yang dibintangi oleh Al Jufferi ini adalah filem pertama terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Ia filem yang bertitik tolak daripada falsafah silat itu sendiri sebagai perlambangan Akal Budi Melayu. Ia bukannya filem yang sekadar menjadikan silat sebagai penyendal tetapi sebuah kunci hidup.

Aksi Al Jufferi yang tangkas dan pantas penuh muslihat juga akan ditonjolkan dengan lebih kerap.
Yang utama aksi semasa menentang jaguh dunia di gelanggang sebenar, akan dipersembahkan dengan sepenuh hati tanpa ragu dengan ketidakadilan juri. Pasti penonton akan lebih puas.

Filem ini akan menemui peminat seni warisan Melayu pada 17 Februari di 40 buah pawagam di seluruh negara. Jangan ketinggalan.

Related Articles

Back to top button