DuniaSemasa

Feri terbakar di Greece, 12 penumpang hilang

ATHENS: Sebuah feri terbakar semalaman di Laut Ionia yang mengakibatkan 12 penumpang masih hilang, manakala dua lagi terperangkap.

Kehilangan itu dilaporkan oleh pegawai Greece, ketika kumpulan kru kecemasan bertungkus lumus memadamkan kebakaran dan mencari mangsa yang terselamat sebelum hari semakin gelap.

Menurut pengawal pantai Greece, kumpulan penyelam turut dikerah bagi memperluaskan pencarian mangsa yang hilang selepas 278 orang diselamatkan, kemudian dibawa ke Pulau Corfu berikutan kebakaran di Euroferry Olympia dalam perjalanan dari Greece ke Itali.

Beberapa jam selepas kebakaran itu berlaku, api masih marak pada petang Jumaat di Pulau Ereikousa antara Greece dan Albania.

Pihak berkuasa berkata, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.

Menurut stesen televisyen kerajaan, ERT, 10 mangsa yang diselamatkan mengalami kesukaran bernafas serta cedera ringan, dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, sembilan daripadanya dari Bulgaria dengan ada beberapa orang mangsa yang masih tidak dapat dikesan.

“Pasukan penyelamat khas Greece berjaya naik ke kapal itu lebih 12 jam selepas kebakaran berlaku dan operasi untuk mengesan 12 penumpang yang hilang sedang dijalankan,” kata pengawal pantai Greece dalam satu kenyataan.

Menurut pemilik feri Grimaldi Lines, lima penumpang yang hilang telah ‘dikesan di atas kapal’ dan usaha memindahkan mangsa sedang dijalankan.

Bagaimanapun, menurut pengawal pantai Greece, pihaknya menyedari hanya dua penumpang di atas kapal yang dikatakan cuba menuju ke geladak feri, dikenal pasti oleh syarikat pengangkutan Bulgaria sebagai pemandu trak Bulgaria dan Turki.

Grimaldi Lines berkata, kapal itu membawa 239 penumpang, 51 anak kapal, selain 153 trak dan treler serta 32 kenderaan penumpang.

Visual yang dipaparkan di televisyen menunjukkan api marak di atas kapal itu menyebabkan kepulan asap hitam menyelubungi ruang udara.

“Terdapat sejumlah besar asap dan jarak penglihatan adalah buruk kerana kapal itu terbakar dari hujung ke hujung.

“Kami tidak melihat sebarang pergerakan di geladak, hanya api,” kata penyelamat Corfu Yiorgos Glikofridis kepada ERT dari sebuah kapal berhampiran feri.

Sementara itu, Kementerian Luar Bulgaria berkata, terdapat 127 warganya dalam senarai penumpang, termasuk 37 orang pemandu trak.

Menurut stesen televisyen NTV, 24 orang mangsa berasal dari Turki, manakala ERT melaporkan seramai 21 rakyat Greece yang berada dalam kapal berkenaan. – AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button