BanjirDomestikSemasa

Fenomena Air Pasang Besar Selangor: Ban Banjir Sementara Akan Dibina di Kawasan Berisiko

AMPANG, 16 Oktober: Kerajaan Negeri Selangor akan membina ban banjir sementara di kawasan-kawasan yang berisiko ekoran fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri itu mulai esok hingga 22 Oktober.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa arahan tersebut telah dikeluarkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya ingin mengingatkan penduduk di pesisir pantai Selangor bahawa fenomena air pasang besar dijangka berlaku esok hingga 22 Oktober, dengan kawasan Klang dan seluruh pesisir pantai Selangor antara yang terjejas.

“Kita telah mengeluarkan arahan dalam dua mesyuarat MTES yang lepas agar ban sementara dibina di kawasan-kawasan yang ban aslinya belum siap,” katanya selepas melawat mangsa tanah runtuh di Taman Melawati pagi tadi.

Amirudin juga menegaskan bahawa semua pihak perlu bersiap sedia untuk menghadapi fenomena ini yang berpotensi menyebabkan banjir, terutama di kawasan pesisir.

“Petang ini, saya akan meninjau persiapan di kawasan yang berisiko dan esok kita akan memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya.

“Pada 18 Oktober, paras air dijangka mencapai tahap tertinggi iaitu 5.8 meter, jadi kawasan dari Klang hingga Sabak Bernam berisiko tinggi mengalami banjir,” jelasnya.

Selain pembinaan ban sementara, beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Kawalan Bencana Negeri dan Daerah akan dibuka 24 jam sehari untuk memantau keadaan di kawasan-kawasan yang terjejas. Ini bagi memudahkan jawatankuasa berkenaan melakukan pemantauan berterusan terhadap situasi banjir.

SUMBER: Buletin TV3

Related Articles

Back to top button