
KUALA LUMPUR: Bagi menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan covid-19, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa mulai Jumaat, 30 September 2022.
Walau bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Haji Mohd Ajib Ismail pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau masih digalakkan.
Dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini, beliau turut menasihatkan supaya individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua termasuk kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka.
“Marilah kita berusaha mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama-sama ahli keluarga dan jiran tetangga agar kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dibina,” pesan beliau pada kenyataan media yang sama.
Pada 7 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).