Facebook mohon maaf kepada Perdana Menteri Palestin?
`Mati syahid', peperangan dikatakan perkataan berbaur hasutan

Eksekutif Kanan Facebook memohon maaf kepada Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh atas aduan yang diterima mengenai sekatan kandungan pro-Palestin oleh pengguna akaun Facebook dalam mesyuarat atas talian yang dianjurkan Selasa lalu.
Walaubagaimanapun, Facebook mengulas bahawa terdapat masalah yang wujud melibatkan algoritma aplikasi itu dan berjanji untuk mengatasinya.
Pada Jumaat (14 Mei 2021), Ketua Misi Palestin di United Kingdom, Husam Zomlot membuat aduan secara rasmi kepada Pengarah Perundangan Awam, Ebelei Okobi, berkenaan penapisan dan pemadaman kandungan semasa kesengsaraan Palestin dalam aplikasi Facebook merupakan tindakan berat sebelah.
Zomlot berkata Facebook secara tidak sengaja melabel perkataan seperti ‘mati syahid’ dan ‘perperangan’ sebagai perkataan yang berbaur hasutan serta berkait rapat dengan keganasan.
“Mereka berjanji akan meninjau dan menilai kembali kerangka kerja mereka,” – Husam Zomlot/ Ketua Misi Palestin di United Kingdom
Jurucakap Facebook tidak menyangkal dakwaan yang diajukan kepada pihak mereka berkenaan isu penapisan maklumat itu dan berusaha untuk menangani masalah ini sebaik mungkin.
“Kami berusaha untuk memastikan perkhidmatan kami adalah tempat yang selamat untuk komuniti. Kami akan terus membuang kandungan yang melanggar piawaian komuniti kami, dan tidak membenarkan sebarang kebencian atau hasutan keganasan dilakukan.” – Jurucakap Facebook
Mesyuarat yang juga dihadiri Naib Presiden Perundangan Awam Antarabangsa Facebook, Joel Kaplan, dan Ketua Dasar Timur Tengah dan Afrika Utara, Azzam Alameddin, membincangkan sekatan dan penutupan akaun oleh laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram kepada pengguna yang berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat di seluruh dunia berhubung penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.
Pada Mei 2020, dilaporkan kira-kira 50 akaun Facebook wartawan dan aktivis Palestin dinyahaktifkan dengan alasan tidak mengikuti piawaian komuniti Facebook.
Sementara itu, pihak Instagram juga bertindak menghapuskan sebarang maklumat yang mempunyai tanda pagar Al-Aqsa dalam bahasa Arab kerana tidak memenuhi garis panduan komuniti di Instagram.
Lebih mengejutkan media Israel menyatakan 95 peratus arahan kerajaan Israel untuk memadam hantaran berkaitan kezaliman terhadap Palestin dipatuhi Facebook dengan jayanya.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom