EU terima kemasukan 40,000 rakyat Afghanistan
BRUSSELS : Sebanyak 15 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) telah komited untuk menyerap 40,000 rakyat Afghanistan bagi penempatan semula.
Ini susulan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bawah kesatuan berkenaan, menurut Pesuruhjaya EU Ylva Johansson.
Menurut rekod yang diperoleh AFP, Jerman akan mendapat majoriti pendatang baharu, dengan 25,000 warga Afghanistan, manakala Belanda akan menerima 3,159 dan Sepanyol dan Perancis masing-masing menerima 2,500.
“Saya berpendapat ini adalah tindakan solidariti sangat baik,” katanya.
Beliau berkata, kebenaran lebih ramai rakyat Afghanistan bergerak secara terkawal akan membantu dalam pencegahan “ketibaan yang tidak teratur.”
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) sebelum ini telah mendesak EU untuk mengambil 42,500 pelarian Afghanistan dalam tempoh lima tahun tetapi beberapa daripada 27 negara anggota telah membantah.
Setakat ini, dianggarkan 85,000 rakyat Afghanistan telah sampai ke negara-negara yang berhampiran dengan EU, tetapi bilangan rakyat Afghanistan yang melarikan diri dari negara itu dijangka meningkat.
Sebelum ini, 24 negara anggota EU sudah menerima kemasukan kira-kira 28,000 rakyat Afghanistan susulan pengunduran tentera asing dan penguasaan semula oleh kumpulan Taliban di Afghanistan.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM