Enggan bertemu Israel, atlet Algeria nekad tarik diri dari Olimpik
TOKYO : Atlet judo Algeria Fethi Nourine dan jurulatihnya Amar Benikhlef dihukum kerana perjuangan menyokong Palestin.
Atlet Algeria, Fethi Nourine mengambil keputusan menarik diri daripada saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum pertandingan apabila undian meletakkan judo berusia 30 tahun tersebut berkemungkinan menentang pencabar dari Israel.
Menurut laporan media, Nourine mengambil tindakan drastik tersebut selepas dijadualkan menentang atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool pada pusingan pertama sebelum berpotensi berentap dengan atlet Israel, Tohar Butbul pada pusingan seterusnya.
“Kami bekerja keras untuk sampai ke Olimpik… tetapi perjuangan untuk Palestin jauh lebih besar daripada ini,” kata Nourine yang akan tetap dengan pendiriannya.
“Sejujurnya kami tidak bernasib baik dengan undian apabila berkemungkinan besar menentang atlet Israel pada pusingan seterusnya. Oleh sebab itu kami memutuskan untuk menarik diri,” kata jurulatih Nourine, Amar Ben Yaklif.
Sebelum itu, Nourine dijadual berdepan lawan dari Sudan Mohamed Abdalrasool Isnin ini, dengan kemungkinan pusingan kedua menentang atlet negara haram Israel Tohar Butbul dalam kategori 73kg lelaki.
Jawatankuasa eksekutif Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) mengumumkan penggantungan sementara Nourine dan Benikhlef dan Akreditasi Olimpik kedua-dua individu itu dibatalkan serta dihantar pulang kerana enggan bertarung dengan atlet Israel.
IJF berkata pendirian Nourine bertentangan dengan falsafah badan induk sukan berkenaan.
Dalam pada itu, ia bukan kali pertama Nourine menarik diri daripada berdepan lawan dari negara haram Israel, selepas perkara sama dilakukan di kejuaraan dunia 2019, juga di Tokyo.
– Berita Harian
Oleh Hafeez Anuar