Oleh : Noorielyana – Wartawan Pelatih Ummah Today
Kabul : Serangan bom berani mati telah dilancarkan di sebuah masjid di ibu negara Afghanistan, Kabul. Menurut seorang jurucakap kementerian, serangan itu telah membunuh empat orang dan mencederakan 25 orang.
Letupan pada petang Rabu itu berlaku ketika pekerja yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di negara itu sedang solat di dalam masjid Kementerian Dalam Negeri Afghanistan. Kementerian itu terletak di jalan utama Kabul bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul.
Jurucakap kementerian yang dilantik oleh Taliban, Abdul Nafi Takor, berkata di twitter: “Malangnya petang ini, kira-kira 1:30 tengah hari [09:00 GMT], berlaku letupan di sebuah masjid kecil di Kementerian Dalam Negeri, akibatnya empat jemaah telah syahid dan 25 yang lain cedera. Insiden itu dalam siasatan, kami akan berkongsi butiran dengan media apabila ia selesai.”
Beliau berkata, sebelum letupan itu berlaku, kakitangan kementerian dan pengunjung sedang berdoa.
Tambahnya, tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas letupan itu, tetapi serangan daripada kumpulan ISIL (ISIS) di Afghanistan iaitu saingan utama Taliban, yang menyasarkan kerajaan dan minoriti Syiah semakin meningkat sejak Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021 .
Kumpulan bantuan Itali Emergency, yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul, menulis di Twitter bahawa ia telah menerima 20 pesakit daripada kejadian itu, dua daripadanya meninggal dunia sebaik tiba di situ.
“Jumlah orang yang cedera meningkat dan mereka melaporkan melihat seorang lelaki meletupkan bom,” kata Dejan Panic, pengarah kecemasan Afghanistan.
“Ia adalah serangan bunuh diri,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Pada petang Rabu, hospital dikawal rapi oleh tentera Taliban. Tentera juga banyak dikerahkan di sekitar lokasi serangan.