PendidikanSemasa

Elak tertukar bagasi, pelajar UPSI hasilkan penanda beg bantu jemaah umrah

IPOH: Sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghasilkan gelang penanda beg yang dinamakan sebagai Reminder Art Craft bagi membantu jemaah umrah di tanah suci Mekah daripada masalah tertukar beg atau bagasi.

Penghasilan penanda beg yang menggunakan getah elastik, velcro tape, benang sulam, labuci, manik dan butang melibatkan lima pelajar daripada Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI bagi memenuhi keperluan kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) membabitkan ‘Projek Santun Masyarakat’.

Seorang pelajar berkenaan Muhammad Syahmi Syahbuldin, 23, berkata idea bagi menghasilkan penanda beg itu tercetus setelah mengadakan sesi kuliah bersama penyelaras kursus tersebut Dr Harleny Abd Arif yang berkongsi pengalaman beliau melaksanakan umrah sebelum ini.

Muhammad Syahmi yang berasal dari Sri Aman, Sarawak, berkata idea itu juga tercetus apabila mereka berjumpa dengan satu agensi yang membawa para jemaah untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah iaitu Tiram Travel Sdn Bhd cawangan Tanjung Malim pada Mei lepas.

“Mereka memberitahu beberapa masalah yang sering dihadapi para jemaah Tiram Travel iaitu antaranya kesukaran untuk mengenal pasti beg masing-masing dan daripada situ tercetusnya idea kami untuk menghasilkan produk berbentuk penanda beg ini yang diberi nama Reminder Art Craft,” katanya kepada BERNAMA.

Muhammad Syahmi berkata untuk penghasilan produk itu, mereka mengambil masa selama seminggu bagi menyiapkan penanda beg berkenaan sebanyak 50 unit setelah membuat analisis bahan perlu digunakan sebelum bersetuju menggunakan getah elastik sebagai bahan asas produk tersebut.

Pelajar semester lima jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian itu berkata setiap ahli kumpulan mempunyai peranan masing-masing dalam penghasilan produk, antaranya memotong getah elastik kepada beberapa bahagian dan penghasilan corak, yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyiapkan satu unit penanda beg.

Sementara itu, rakan kumpulannya Al Suhaimi Alsim, 23, berkata setakat ini mereka hanya menghasilkan 50 unit penanda beg itu, dengan 35 daripadanya telah diberikan kepada jemaah umrah Tiram Travel pada bulan lepas.

Dalam pada itu, Harleny yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Seni dan Reka Bentuk, FSKIK UPSI berkata perkara paling penting dalam penghasilan penanda beg itu adalah ia memanfatkan pelajar berkenaan serta masyarakat secara amnya dan produk tersebut boleh dihasilkan sekiranya terdapat peluang.

“Kalau kata dari segi nak komersialkan itu adalah apa sahaja yang dibuat, sama ada skala paling kecil, mudah atau sederhana, selagi ia memberi manfaat kepada diri kita sendiri atau masyarakat, kenapa tidak? Kita perlu bermula dari sekarang,” katanya.

Menurut Harleny setiap wakil keluarga telah diberikan produk yang sama warnanya bagi memudahkan pengecaman sekiranya berlaku kekeliruan mengenal pasti beg dalam kalangan jemaah umrah Tiram Travel pada bulan lepas.

Kredit foto FB Syahmi Samin

Selain itu, beliau berkata sekiranya selepas ini ada pihak yang mahu berbincang untuk penambahbaikan terhadap penanda beg itu yang akan memberi manfaat kepada komuniti, idea mereka amatlah dialu-alukan.

Menurutnya sebagai seorang pensyarah, beliau hanya merupakan fasilitator, memberi bimbingan, aspirasi dan motivasi kepada pelajarnya untuk menyiapkan serta melakukan suatu tugasan dengan sebaik mungkin.

“Sekiranya ada kita kata hasrat pihak-pihak lain yang nak komersialkan (penanda beg tersebut), insya-Allah kita berbincang dan apa sahaja untuk kebaikan diri kita, masyarakat bagi saya, kita raikan insya-Allah kita boleh ke arah yang lebih baik, memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.


Jemput sertai Program Korban bersama MAPIM Malaysia tahun 2023/1444H ini

Mengapa MAPIM Malaysia?
✅ Keutamaan edaran daging korban untuk Asnaf dalam Malaysia
✅ Pengalaman korban 10 tahun di dalam & di luar negara
✅ Diiktiraf Kerajaan Malaysia dalam aktiviti kemanusiaan dalam negara
✅ Sijil Penyertaan Korban dipos kepada peserta
✅ Plaque ditulis nama sebagai cenderahati
✅ Video Ibadah korban eksklusif

InshaAllah ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Aisyah ra, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda; “Tidak ada amalan anak Adam daripada amal di hari Raya Udhiyah yang lebih disukai oleh Allah daripada mengalirkan darah binatang korban. Sesungguhnya ianya akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya dan rambutnya serta kuku-kukunya dan sesungguhnya darah korban akan diterima oleh Allah sebelum daripada menitisnya darah korban di bumi.” (Diriwayatkan oleh At Tarmidzi)

Untuk maklumat lanjut, layari : www.ibadahqurban.com

Sebarang pertanyaan boleh dihubungi kami menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button