Elak lakukan aktiviti rekreasi sehingga tamatnya Monsun Timur Laut
KUALA NERUS : Orang ramai diingatkan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti khususnya aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan sungai, sehingga tamatnya musim Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan Mac.
Ia kerana paras air sungai di pelbagai daerah di seluruh negeri telah meningkat sehingga melebihi ambang amaran, berikutan hujan lebat semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Terengganu Mohd Rosman Abdullah, berkata setakat ini Sungai Chalok di Setiu dan Sungai Telemong di Hulu Terengganu melepasi tahap amaran.
Menurutnya, enam lagi sungai iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Setiu di Kampung Besut; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Sungai Tebak Sungai Besut di Kampung Keruak pula telah melepasi paras amaran.
“Berikutan itu, kita mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelak aktiviti air sehingga musim tengkujuh berlalu,” katanya.
Sementara itu, Rosman menyatakan pihaknya akan memperketatkan pengawasan di zon rekreasi air bagi menjamin tiada kemalangan tidak diingini berlaku.
-AGENSI