Semasa

Dua beradik maut makan sisa makanan tong sampah

LANGKAWI : Dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar dikatakan maut petang semalam selepas memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut.

Nizambudin, empat tahun, dan adiknya, Ngei Jamaludin, dua, ditemui mati berhampiran lokasi sekitar jam 5.40 petang.

Ketua Pihak Berkuasa Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu sekitar 6.15 petang.

“Siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu melihat kedua-duanya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang dan mulut berbuih sebelum membawa kedua-duanya ke rumah jiran berdekatan.

“Kedua-dua kanak-kanak itu ditemui tidak bernafas beberapa minit kemudian sebelum penduduk tempatan memaklumkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Shariman berkata, bapa kanak-kanak itu bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan kerja kampung, selain mereka tiada kediaman tetap dan hanya menumpang di rumah jiran.

“Siasatan awal mendapati, kanak-kanak yang meninggal dunia ini dipercayai memakan sisa makanan diperoleh dalam tong sampah iaitu kawasan mereka ditemui.

“Petugas perubatan mengesahkan kematian, dan kedua-dua mayat dipindahkan ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian dan bedah siasat Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) setakat ini.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button