KUALA LUMPUR : Bagi memastikan masyarakat Malaysia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif menggunakan dron sebagai alat pemantau terutamanya di sekitar Lembah Klang.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, pematuhan SOP masyarakat akan dipantau dari udara dengan menggunakan dron. Hal ini kerana, pihak PDRM mendapati sukar untuk mereka memastikan rakyat Malaysia akur dengan SOP, lebih-lebih lagi di bazar.
“Seperti diketahui agak sukar memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung.” – Timbalan Ketua Polis Negara / Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
Tambah beliau ketika melawat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, jumlah pengunjung datang ke bazar boleh mencecah lebih lagi dan polis yang bertanggungjawab mengawal dron ini akan memastikan SOP di bazar dipatuhi oleh semua pengunjung.
Timbalan Ketua Polis Negara itu turut berkata, penggunaan dron dikira efisien kerana mampu memberikan gambaran jelas pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial dilakukan atau tidak.
Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Superintendan Rasha Azaldin Shafii, berkata pemantauan SOP di bazar Ramadan bermula sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, pasukan unit dron akan dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memantau persekitaran bazar di sekitar Lembah Klang.
“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang. Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa pemantauan dilakukan.” – Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Superintendan Rasha Azaldin Shafii
Rasha berkata, segala video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan.
Merujuk pada kenyataan beliau dari pusat operasi dron, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan apabila berlaku pelanggaran SOP, dron tersebut akan menegur melalui pembesar suara dron. – BERNAMA
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom