Doa keselamatan musibah dalam khutbah Jumaat dilaksanakan di Perlis

KANGAR : Semua khatib dan pengurusan masjid di Perlis diarahkan untuk mengadakan doa keselamatan dan kesejahteraan dalam menghadapi ujian dan musibah benca di seluruh negara bermula dengan solat Jumaat hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia sejajar dengan irsyad dan nasihat Mufti Negeri Perlis agar semua masjid di negeri itu diselaraskan untuk membaca doa khusus ketika khutbah Jumaat selaras dengan amalan yang bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Adalah menjadi harapan segala musibah dan ujian bencana yang sedang dihadapi di seluruh negara akan segera pulih dan keadaan akan menjadi baik seperti sedia kala.
“Amalan berdoa yang akan dilaksanakan oleh khatib seluruh negeri adalah sebahagian daripada usaha sebagai hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada pertolongannya,” katanya dalam titahnya, hari ini.
Titahnya lagi, MAIPs menyeru seluruh rakyat dan pemimpin memperteguhkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T, selaras dengna perkembangan negaa yang berhadapan dengan situasi bencana seperti sekarang.
“Selain itu kita juga perlu berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan tegahan serta larangan-Nya,” titahnya lagi.
Dalam pada itu, Baginda mengingatkan umat Islam di negeri ini mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat yang harus ditunaikan.
Baginda juga bertitah bahawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya mereka ingkar menunaikan solat Jumaat.