Semasa

DNA khinzir ditemui dalam kuih bulan berlogo halal

KOTA KINABALU : Kuih bulan yang berlogo halal didapati mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

Sehubungan itu, pembaharuan sijil halal syarikat pembuatan dan penjual  roti tersebut dibekukan.

Menurut Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali, ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 1 November yang menemukan DNA haiwan iaitu khinzir  pada sampel kuih bulan keluaran syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, syarikat itu didapati masih menjual produk makanan yang mempunyai DNA babi dengan menggunakan logo halal.

“MUIS mendapati bahawa sijil halal syarikat itu telah tamat tempoh pada 15 Mei dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku.

“Biarpun syarikat itu mengakui kesilapan mereka namun, MUIS berpandangan syarikat berkenaan melakukan ketidakpatuhan syariah yang amat serius membabitkan produk makanan.” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, MUIS menerima aduan mengenai isu halal bagi kuih bulan keluaran syarikat itu pada 16 September dan pemeriksaan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah pada 23 September.

Kemudian, MUIS menerima laporan secara bertulis pada 16 November lalu daripada Jheains bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk datang ke pejabat pada 19 November bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button