
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
KUALA LUMPUR: Kesihatan kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah merosot selepas diserang sawan berulang kali baru-baru ini.
Ainul dikatakan masih belum lagi mampu untuk bergerak berdasarkan kepada perkembangan yang dibuat oleh ibunya di Instagram.
“Update untuk malam ini (semalam). Result CT Brain dan Utrasound sudah keluar. Semuanya normal, otak adik Ainul dalam keadaan stabil, perut dia juga normal. Alhamdulillah, Allah swt Maha Penyayang.
Namun Ainul masih lagi tak berapa nak bergerak lagi (pasif) mungkin kesan dari sawan berulang kali semalam. Mungkin dia masih tengah dalam fasa recover dari serangan semalam. Dia penat mungkin.
Kita semua doakan supaya semangatnya pulih kembali.” – Tulisnya di instastory
Bapa adik Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata doktor masih lagi berusaha merawat anaknya itu dan memohon orang ramai untuk menitipkan doa buat anaknya itu.
Keadaan terkini Adik Ainul mendapat perhatian daripada pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Baki.
Amalina dalam hantaran InstaStory miliknya memohon doa daripada orang ramai agar dapat memberi semangat buat Ainul dan keluarganya. Dalam pada itu, beliau menitip doa agar adik Ainul terus kuat melawan penyakit yang dihadapinya, seperti mana dia berjaya mengharungi pembedahan ketumbuhan sebelum ini.
“Bismillah, mari kita sama-sama doakan untuk Ainul Mardiah.
Ya Allah ya Tuhanku berikanlah kesembuhan kepadanya dan kekuatan buat ibu bapanya. Sesungguhnya engkaulah yang maha besar lagi maha penyayang, kami semua sayang Ainul Mardhiah.” – Tulisnya