KUALA LANGAT: Seorang buruh am ditemui maut di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.
Mayat ditemui dengan kesan parah di kepala serta badan, dipercayai digilis lori mengangkut tanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salleh, berkata kemalangan maut membabitkan sebuah lori jenis Nissan yang sedang mengundur untuk membuang tanah di kawasan pembinaan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Apabila selesai membuang tanah, pemandu terbabit keluar dari lori dipandunya untuk melihat tanah yang dibuang itu.
“Ketika pemandu lori ke hadapan, dia nampak mangsa terbaring dalam keadaan kecederaan parah di kepala dan anggota badan akibat digilis oleh tayar lori dipandunya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berumur 42 tahun, bekerja sebagai buruh am di tapak pembinaan berkenaan.
Tambah Ridhwan lagi, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. – AGENSI
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today