PolitikSemasa

Dewan Rakyat sepakat menyahkriminalisasikan cubaan bunuh diri

Dewan Rakyat sebulat suara untuk menggugurkan peruntukan undang-undang yang mengkategorikan cubaan membunuh diri sebagai satu kesalahan, dalam langkah yang dilihat sebagai batu loncatan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan akan menjadi batu loncatan dalam usaha mencegah sebarang percubaan membunuh diri di negara ini bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan, dan untuk mereka keluar dan mendapatkan bantuan,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Pembaharuan Perundangan dan Institusi) Ramkarpal Singh.

 

Ramkarpal Singh

Seksyen 309 menyatakan bahawa mereka yang cuba membunuh diri akan dihukum penjara sehingga satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam, Ahli Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) untuk memansuhkan Seksyen 309 dalam langkah menyahkriminalisasikan bunuh diri di Malaysia.

“Kewujudan Seksyen 309 adalah satu peruntukan dari abad ke-19 kerana pada masa itu dilihat jenayah bunuh diri akan menjadi tindakan pencegahan,” kata Ramkarpal dalam ucapan penggulungannya.

“Tetapi pada masa kini, rawatan perubatan, dan bukan pendakwaan, adalah cara terbaik untuk menangani perkara itu, berdasarkan pendekatan oleh negara lain,” tambahnya.

Berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan tahun lepas, beliau berkata terdapat penurunan kadar bunuh diri di negara yang telah meminda atau memansuhkan undang-undang yang menjenayahkan percubaan membunuh diri.

Pindaan itu juga menggariskan bahawa ia akan menjadi satu kesalahan jenayah untuk bersubahat dalam sebarang percubaan membunuh diri.

Pada masa ini, Seksyen 306 Kanun Keseksaan hanya menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bersubahat dalam perbuatan membunuh diri, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Menurut The Star, Ramkarpal berkata pindaan ini juga meliputi tindakan pembuli siber yang didapati bersubahat atau mempengaruhi kes bunuh diri kanak-kanak dan mereka yang cacat mental sebagai satu kesalahan jenayah.

Tindakan itu, katanya, adalah untuk melindungi orang ramai daripada buli dalam talian yang boleh membawa kepada bunuh diri.

“Terdapat pembuli siber yang terlibat dalam menggalakkan mangsa menamatkan nyawa mereka sendiri melalui platform dalam talian,” katanya.

Ramkarpal berkata, 2.3 peratus atau hampir 500,000 rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas terdedah kepada kemurungan, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan yang diterbitkan sebelum penularan wabak Covid-19.

“Penyelidikan mendapati individu yang menghadapi kemurungan adalah 20 kali lebih berisiko untuk membunuh diri atau meninggal dunia akibat bunuh diri,” tambahnya.

Dewan Rakyat juga meluluskan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan No 2), yang berbangkit daripada pindaan yang dibuat kepada Kanun Keseksaan, kerana ia juga termasuk sebagai kesalahan jenayah, sebarang persubahatan melakukan percubaan membunuh diri oleh kanak-kanak atau seseorang yang tidak mempunyai keupayaan mental atau mana-mana orang.

Berikutan kelulusan kedua-dua Rang Undang-undang ini untuk menyahkriminalisasikan bunuh diri, bacaan kedua Akta Kesihatan Mental dijangka dibentangkan hari ini.

Pindaan kepada Akta Kesihatan Mental akan mentakrifkan kedudukan dan kuasa pegawai intervensi krisis di bawah Seksyen 11.

Pegawai intervensi krisis ini dibenarkan untuk menangkap mana-mana orang yang dipercayai menunjukkan ketidakstabilan mental dan yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, orang lain atau harta benda.

Mereka yang mengalami masalah boleh menghubungi: Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau WhatsApp 019-261 5999); Pusat jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (WhatsApp 0111-959 8214); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929 atau www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk senarai penuh nombor dan waktu operasi).

Related Articles

Back to top button