
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa berjuta-juta rakyat Pakistan yang terjejas akibat banjir terburuk negara itu kini berisiko mendapat ‘waterborne disease’ atau penyakit bawaan air.
Agensi kanak-kanak PBB pula berkata lebih 3 juta kanak-kanak Pakistan memerlukan bantuan kemanusiaan dan berisiko tinggi mendapat penyakit bawaan air, lemas dan kekurangan zat makanan akibat banjir ini.

Pegawai kesihatan Pakistan pada Khamis melaporkan bahawa wabak penyakit bawaan air di kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini semakin meningkat naik.
Cirit-birit, penyakit kulit dan jangkitan mata merebak dengan pantas di kem bantuan yang ditubuhkan oleh kerajaan di seluruh negara. Lebih 90,000 kes cirit birit telah dilaporkan dari salah satu wilayah yang paling teruk dilanda, Sindh dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Pihak berkuasa dan agensi bantuan Pakistan sedang berusaha bagi mendapatkan kemudahan perubatan kepada beribu-ribu wanita hamil yang merupakan antara 50 juta orang yang terjejas akibat banjir.
Laporan ini menimbulkan kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia terhadap penularan penyakit bawaan air di kalangan mangsa banjir.
Ramesh Kumar, seorang doktor perubatan di Shikar Pur berkata, beliau telah merawat ramai mangsa banjir dan kebanyakan mereka mempunyai penyakit bawaan air.
Hampir setengah juta orang yang dilanda banjir tinggal di kem-kem bantuan. Di wilayah Sindh, beribu-ribu kem perubatan telah didirikan di kawasan yang dilanda banjir bagi merawat mangsa, kata Dr Azra Fazal Pechuho.
Unit perubatan mudah alih juga telah digunakan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata ia meningkatkan pengawasan untuk cirit-birit akut, taun, penyakit berjangkit lain dan menyediakan bekalan perubatan kepada kemudahan kesihatan.

Doktor berkata mereka pada mulanya melihat kebanyakan mangsa mendapat trauma akibat banjir, tetapi kini merawat beribu-ribu orang yang mengalami cirit-birit, jangkitan kulit dan penyakit bawaan air yang lain. Ramai wanita hamil yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir juga terdedah kepada risiko.
Farah Naureen, pengarah untuk Pakistan di agensi bantuan antarabangsa Mercy Corps, berkata penyakit bawaan air meningkat pada kadar yang lebih pantas dalam kalangan orang yang kehilangan tempat tinggal di kawasan yang dilanda banjir. Dalam satu kenyataan, beliau berkata selain penyakit berjangkit, kesihatan wanita adalah amat penting.
“Sekitar 73,000 wanita akan bersalin dalam tempoh bulan depan, dan mereka memerlukan pembantu kelahiran yang mahir, privasi, dan kemudahan kelahiran, kelangsungan hidup ibu serta bayi yang baru lahir akan berisiko,” katanya.
Kanak-kanak terdedah kepada risiko yang tinggi, kata UNICEF dalam satu kenyataan.
“Apabila bencana melanda, kanak-kanak sentiasa menjadi antara yang paling terdedah,” kata Abdullah Fadil, wakil UNICEF di Pakistan. Banjir itu merosakkan 17,566 sekolah, kata agensi itu.
Sementara itu, anggota penyelamat, disokong tentera, meneruskan operasi untuk memindahkan orang yang terdampar ke tempat lebih selamat. Penyelamat kebanyakannya menggunakan bot, tetapi helikopter juga terbang untuk memindahkan orang yang terkandas dari kawasan di mana jambatan dan jalan raya musnah, menyukarkan pemindahan orang dan menghantar makanan kepada mereka.
Beberapa hari lalu, Pakistan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan rayuan untuk pembiayaan kecemasan $160 juta kepada Pakistan. Perdana Menteri Shahbaz Sharif pada hari Khamis melalui Twitter, mengucapkan terima kasih kepada Emiriah Arab Bersatu kerana menyampaikan bahagian pertama barangan bantuan bernilai $50 juta. Dia juga berterima kasih kepada Amerika Syarikat kerana mengumumkan bantuan $30 juta.
Setakat ini, beberapa negara, termasuk Turkeye, China, Qatar, dan Arab Saudi, telah menghantar muatan pesawat bantuan kepada mangsa banjir di Pakistan. Menurut anggaran awal kerajaan, kemusnahan itu menyebabkan nilai kerugian lebih $10 bilion.
Negara Pakistan terus lumpuh & kerajaannya merayu sumbangan dunia.
Marilah kita bersama-sama membantu dengan cara menyumbang, menerusi
Akaun Maybank :
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066
atau layari laman web:
www.rayuanPakistan.com
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016