KesihatanSemasa

Depression is real!

#depressionisreal masyarakat perlu faham depresi & stres adalah satu isu yang tidak boleh dipandang ringan

Masalah depresi mesti dipandang serius kerana jika gagal ditangani dengan baik ia boleh menjejaskan kualiti hidup, kerja, akademik, sosial dan rohaniah.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan MSU Prof Dr Zulkifli Ghaus, masyarakat juga perlu membaca, peka serta meningkatkan ilmu mengenai penyakit mental melalui penglibatan dalam program yang dianjurkan agensi berkaitan yang bukan sahaja melibatkan kaedah menangani depresi tetapi juga gejala lain seperti perasaan cemas (anxiety), gembira berlebihan (mania), cepat marah, agresif dan psikosis.

“Masyarakat perlu dididik dengan lebih proaktif tanda awal penyakit mental. Kita perlu tahu cara yang asas untuk berdepan dengan orang yang depresi atau pun individu yang agresif serta bekerjasama dengan doktor agar pesakit dapat dirawat dengan baik.”

“Stigma dan pemikiran negatif terhadap pesakit mental perlu dihapuskan. Perkataan gila atau sasau sebagai contoh tidak seharusnya digunakan sebaliknya ahli keluarga, rakan terdekat, seluruh anggota masyarakat serta kerajaan perlu membimbing dan bersedia menghulur bantuan,” katanya.

Dr Zulkifli pada masa sama menambah, sikap memendam rasa, menjaga hati orang lain atau mungkin tanggapan tidak mahu membesar-besarkan sesuatu perkara boleh mengundang kepada situasi ‘makan dalam’ dan memberi implikasi besar kepada diri sendiri termasuk bunuh diri atau membunuh orang lain.

“Sikap seperti ini mungkin terjadi kerana isu stigma tadi. Mereka tidak mahu dilabelkan sebagai negatif jauh sekali mempunyai penyakit mental. Ini kerana masyarakat sering memandang pesakit mental sebagai bermasalah, lemah, sukar bergaul, tiada masa depan, agresif, sukar dipercayai dan sebagainya.”

Foto sekadar hiasan

“Secara puratanya, kaum lelaki lebih sukar meluahkan perasaan kerana sifat mereka yang memimpin dan bukan dipimpin. Meminta pertolongan daripada orang lain membuatkan mereka kelihatan lemah dari segi mental dan fizikal.”

“Berbeza dengan wanita, mereka lebih mudah menyuarakan isi hati dan lebih cenderung mendapatkan pertolongan. Elakkan memendam masalah sebaliknya rujuklah kepada individu yang boleh dipercayai seperti ibu bapa, adik beradik, kaunselor, pakar psikologi atau pakar psikiatri,” katanya.

Bagi beliau, merujuk kepada pakar bidang adalah jalan terbaik kerana maklumat yang dikongsi adalah sulit dan laporan akan hanya dikeluarkan dengan kebenaran individu terlibat.

KURANG PAKAR PSIKOLOGI, PSIKIATRI

Menurut statistik Institut Kesihatan Negara (NIH) 2018, Malaysia masih berhadapan masalah kekurangan tenaga pakar psikologi dan psikiatri.

Pada masa ini Malaysia mempunyai seramai 200 orang pakar psikologi untuk populasi 33 juta orang penduduk berbanding di Britain iaitu seramai 9,500 pakar untuk populasi 67 juta orang penduduk.

Malaysia juga hanya mempunyai 1.27 pakar psikiatri untuk 100,000 penduduk sedangkan angka sebenar yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah satu pakar untuk 10,000 penduduk (1: 10,000).

“Bagi mendepani perkara ini, bidang psikiatri dan kesihatan mental sentiasa diutamakan dalam latihan para doktor. Mereka sentiasa digalakkan menceburi bidang ini kerana Malaysia sangat kekurangan pakar. Pegawai Perubatan Siswazah digalakkan menjalani posting psikiatri untuk menimbulkan minat mereka dalam bidang ini.”

“Program melibatkan kesihatan mental sentiasa mendapat perhatian di platform sosial media. Doktor juga digalakkan berkongsi pengetahuan dan sokongan kepada mereka yang bermasalah,” katanya menambah setiap Pegawai Perubatan dinasihatkan tidak memandang ringan stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental.”


AHLI KELUARGA TOKSIK

Sementara itu, Perunding Motivasi dan Kaunseling terkenal Hushim Salleh berkata, berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan kes melibatkan pasangan suami isteri dan keluarga, masalah kewangan termasuk diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19 menjadi antara punca utama tekanan hidup dan emosi seterusnya membawa kepada masalah mental.

Gejala bunuh yang menjadi-jadi kebelakangan ini terutama selepas pandemik melibatkan anak bunuh ibu, adik bunuh abang dan sebagainya hanya disebabkan si ibu enggan memberikan duit kepada anak yang mungkin penagih dadah atau punca lain, timbul rasa tidak puas hati soal pembahagian harta pusaka.

“Dalam isu ini juga, keluarga sendiri sebenarnya boleh menjadi toksik disebabkan rasa tidak puas hati, hasad dengki dan kebanyakan masalah sekarang ialah tiada komunikasi. Banyak yang berlaku sekarang, apabila ada masalah dalam keluarga maka ramai yang pendam, simpan dan memilih untuk tidak meluahkan perasaan kepada ahli keluarga yang lain.”

“Apabila terlalu lama memendam dan berdiam, ia sedikit demi sedikit akan menjadi kebencian (kepada ahli keluarga) dan akhirnya akan wujud bisikan (halusinasi) untuk membunuh,” katanya.

Beliau menambah, terdapat juga banyak kes pasangan suami isteri yang bermasalah namun berpura-pura semuanya baik demi menjaga nama keluarga dan reputasi masing-masing.

“Kes ini memang banyak sangat saya kendalikan. Ramai pasangan suami isteri yang ada masalah… di luar nampak bahagia dan gembira termasuklah apa yang dikongsikan di Facebook dan Instagram, semuanya indah-indah sedangkan sebaliknya yang berlaku.”

“Mereka ini yang bila berjumpa untuk buat sesi kaunseling tiba-tiba ‘meletup‘ sebab selama ini masing-masing ‘menyimpan’ ada yang ‘terbuku di hati’ tetapi tak pernah nak kongsi atau berbincang. Hakikatnya, tindakan sebegini sangat berbahaya dalam keluarga.”

“Suami isteri jika ada masalah lekaslah berjumpa kaunselor perkahwinan keranan kita tak boleh berpura-pura dan perlu menjaga hubungan dan berterus terang,” katanya menambah sesi kaunseling dan terapi keluarga dapat membantu menyelamatkan sesebuah institusi keluarga.

***sumber rujukan BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button