KUALA LUMPUR: KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Khamis menggesa kepada semua agar mendengar suara wanita yang memperjuangkan hak mereka.
Seri Paduka bertitah baginda secara peribadi akan terus menyokong mana-mana gerakan yang memperjuangkan hak wanita, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Ini semua tentang pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender. Adalah penting untuk mendengar wanita memperjuangkan hak mereka,” titah Seri Paduka pada majlis sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda hari ini.
Tunku Azizah juga memuji wanita kerana memainkan peranan penting di Malaysia, termasuk sebagai pendamai yang penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini.
Tunku Azizah turut menuntut supaya lebih ramai wanita mengisi jawatan tertinggi di negara ini.
Ini terutamanya jawatan di peringkat kementerian dalam kerajaan kerana jumlah wanita yang memegang jawatan tertinggi jauh lebih rendah berbanding bilangan wanita yang layak untuk mengundi dalam pilihan raya.
“Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wanita mewakili 50% daripada keseluruhan pengundi di dunia dan hanya mewakili peratusan kecil di peringkat kementerian.”
“Sehubungan itu, perlunya anda tuntut. Kerana tanpa undi wanita…itu sahaja saya tak perlu sambung,” titahnya.
Titah baginda lagi, wanita sudah banyak memainkan peranan penting dalam pelbagai perkara dan sebab itu hak wanita yang diperjuangkan mereka harus didengari oleh semua pihak.
“Wanita juga perlu memainkan peranan utama sebagai watak pendamai kepada negara untuk membawa keamanan dalam keadaan situasi memerlukan,” titahnya.
Pada majlis anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) itu, Tunku Azizah turut melancarkan buku bertajuk ‘Keberanian Pelopor NCWO’ mengenai pengasas NCWO.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.