Demi pendidikan, Azeem tolak untuk menjadi atlet profesional
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Memandang pendidikan sebagai satu perkara penting, pelari pecut negara mendedahkan bahawa dia mungkin akan menolak dua tawaran ejen yang mahu mengambilnya sebagai atlet profesional.
Menurut pelari dari perak itu, tawaran yang hadir dari dua syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah itu diterima selepas sahaja selesai dia selesai menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada awal bulan lalu.
Muhammad Azeem Fahmi mendakwa dia berkemungkinan besar akan menolak tawaran tersebut kerana berpegang kepada prinsip mengutamakan pendidikan bagi sama depannya.
Berbanding menolak terus tawaran terbabit, proses perbincangan dengan dua ejen terbabit masih berjalan namun mengakui kemungkinan besar beliau terpaksa menolak kedua-duanya bagi beralih fokus kepada pengajian tinggi.
“Saya tetap dengan pendirian untuk fokus pada pelajaran sebelum menjadi atlet profesional, sebab pada saya pelajaran mesti didahulukan kerana ia adalah pelan paling penting untuk meneruskan kehidupan terutama apabila sudah berusia kelak.
“Sebab saya takkan berlari, atau bersukan seumur hidup dan itu adalah benda yang saya kena pegang untuk masa depan nanti,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui dalam program Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Kecemerlangan Sukan Atlet negeri Perak di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Muhammad Azeem berkata, menjadi atlet profesional bererti perlu bekerja dengan syarikat terbabit untuk menyertai pelbagai kejohanan dengan selain ditawarkan imbuhan lumayan, pelbagai inisiatif lain turut ditanggung termasuk kos pengangkutan, kediaman, dan sebagainya.
Beliau berkata, malah pencapaian sebagai atlet profesional tidak akan melayakkannya beraksi di pentas kejohanan antara kolej serta universiti kelak selain terikat dengan kekangan masa untuk membahagikan antara pelajaran dan kerjaya.
“Bukan selama-lamanya saya boleh berlari, saya tahu semua atlet pun akan tiba masa untuk mereka berhenti menjadi atlet. Namun dengan segulung ijazah, mungkin selepas itu kita mampu beroleh kerjaya tetap,” katanya.
Kata beliau lagi, berbanding dua tawaran menyambung pengajian yang diterimanya sebelum ini iaitu di Universiti Houston atau Universiti Auburn yang kedua-duanya terletak di Amerika Syarikat (AS), dilema beliau kian bertambah apabila kini lebih dari 10 universiti serta kolej turut menawarkan tempat kepadanya baru-baru ini.
uha
Menurutnya, hampir kesemua tawaran baharu menyambung pengajian itu diterima sejurus Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, baru-baru ini yang mana disebabkan itu dia dan keluarga pada waktu ini perlu menyertai perbincangan yang diaturkan Majlis Sukan Negara (MSN) hampir setiap malam bagi meneliti kesemua tawaran terbabit.
“Seperti semalam, kami baru selesai berbincang dengan Universiti A&M Texas, AS yang menyediakan tawaran sangat menarik termasuk biasiswa penuh, dan masih ada berbaki tujuh atau lapan lagi universiti yang perlu kami teliti termasuk universiti di Florida; Louisiana State University (LSU); dan banyak lagi universiti di Division 1, National Collegiate Athletic Assisiation (NCAA).
“Saya perlu dapat nasihat daripada MSN, iaitu untuk kita dengar dahulu semua tawaran diberikan dan di akhirnya nanti saya dan keluarga serta jurulatih, MSN juga akan duduk berbincang membut pilihan yang tepat sebab kita tahu ini bukan perkara main-main kerana membabitkan masa depan saya,” katanya.
Sebagai rekod, Muhammad Azeem menamatkan saingan peringkat akhir acara riben biru di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia di kedudukan kelima dan mencipta rekod baharu kebangsaan 10.09 saat pada peringkat saringan.
Manakala, insentif kecemerlangan sukan sebanyak RM10,900 pula diberikan kepada 20 atlet Perak yang mencatatkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada para atlet yang mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa.