Semasa

‘Datuk Seri’ sumbang bon 1 juta euro kepada Ustaz Kazim

UKE kesal ada individu ambil kesempatan terhadap orang yang dalam kesusahan

PETALING JAYA : Pusat Pendidikan Al Barakah milik Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim telah menerima bon 1 juta euro dari seorang ‘scammer’ yang mendakwa dirinya sebagai Datuk Seri.

Ustaz Kazim memberitahu bahawa kehadiran individu terbabit bertujuan untuk melawat dirinya yang sedang sakit serta ingin memberi sumbangan terhadap penghuni di Al-Barakah.

“Berhati-hati kepada pengusaha maahad tahfiz, sekolah-sekolah pondok dan orang yang sakit seperti saya ini dengan ‘scammer’.”

“Dalam sakit-sakit ini datang pula ‘Datuk Seri’ bagi sumbangan bon 1 juta euro kepada Al Barakah pukul 8 malam tadi (semalam).

“Menggigil tangan bila mereka serah tadi. 1 juta euro bersamaan berapa juta RM ye?,” menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut meluahkan rasa kesal dengan sesetengah individu yang suka mengambil kesempatan ketika orang lain sedang berada dalam kesusahan.

“Allahuakbar, takutlah kepada Allah. Kita akan mati. Kepada orang sakit, orang-orang tua, anak-anak tahfiz, sekolah pondok, sanggup ada yang ambil kesempatan,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Kazim memohon bantuan orang ramai yang boleh mengubati penyakit yang dihidapinya.

Penyakit dihidapi telah turut memberi kesan yang agak ketara pada wajahnya apabila ia menunjukkan sedikit perubahan dan terkini, beliau telah memuat naik gambar sebelah tangannya yang ditumbuhi beberapa ketulan kecil berwarna hitam.

Beliau tidak menolak kemungkinan dugaan yang menimpanya kemungkinan disebabkan ada individu yang dengki dan iri hati terhadap beliau, atau lebih dikenali sebagai penyakit ‘Ain’.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button