Semasa

Dari Gaza ke Titiwangsa: Nadir angkat semangat asnaf

Kuala Lumpur, 27 Oktober – Aktivis Gaza yang tidak mengenal lelah, Muhammad Nadir Al-Nuri bin Kamaruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), kini membawa semangat perjuangannya ke tanah air. Beliau bukan sekadar membantu di bumi Gaza, tetapi juga hero kepada rakyat Malaysia.

Dalam Program Jelajah Peduli Ummah yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama CGM, Nadir hadir bersama Setiausaha Agung MAPIM, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Muhammad Faris bin Hussain, Dr. Kamarudin bin Isa, serta Tuan Mohd Noor Ibrahim, pegawai khas Ahli Parlimen Titiwangsa bagi menyantuni golongan yang memerlukan.


Kehadiran Nadir dalam program ini bukan sekadar memberi inspirasi tetapi juga mengangkat harapan golongan yang memerlukan.

Habibah Binti Mohd, yang mengalami pendarahan mata dan bergantung kepada rawatan dialisis akibat komplikasi kencing manis, antara asnaf yang gembira dengan kunjungan Nadir dan bantuan yang diterima.

“Ini bukan sekadar pemberian material, ini soal memberi harapan dan memulihkan keyakinan hidup mereka,” ujar Nadi.

Antara asnaf yang disantuni ialah Puan Norshidah Binti Adam, pesakit kanser payudara tahap empat, yang bertahan hidup tanpa kemoterapi dan radioterapi kerana tidak sesuai untuknya. Kemudian bergerak pula ke kediaman Sarno Bin Kartono, yang menderita jantung berlubang hingga sering mengalami sesak nafas, dan Che Asiah Binti Yaacob yang kini melemah di usia tua. Sementara itu, Mariam Binti Abu yang turut menghidap kencing manis, darah tinggi, dan gout, mengalirkan air mata syukur atas lawatan Nadir dan pasukannya.

Nadir Al-Nuri tidak hanya menginspirasi dengan perjuangannya di Gaza tetapi juga mengangkat semangat asnaf di sudut-sudut ibu kota. Perjalanan beliau bersama CGM ini bukan sahaja menghidupkan jiwa-jiwa yang hampir pudar tetapi mengingatkan kita semua akan tanggungjawab bersama untuk sentiasa ada buat mereka yang memerlukan.

Related Articles

Back to top button