DomestikSemasa

Dana wakaf al-Quran dilancarkan oleh JAWI

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 naskhah pembelian al-Quran dengan kutipan dana sebanyak jumlah RM700,000 untuk program sumbangan dana dan waqaf kepada masjid, surau Jumaat, surau sekolah yang terkesan dengan banjir di Wilayah Persekutuan.

JAWI dalam kenyataan media hari ini berkata sehingga kini, sebanyak RM170,000 diterima daripada beberapa pihak seperti Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, inisiatif ini sebagai lambang solidariti dan keprihatinan serta dilaksanakan kerana terdapat banyak naskhah al-Quran yang rosak dan musnah akibat banjir dialami individu atau institusi seperti masjid, surau dan sekolah di beberapa kawasan di seluruh negara.

Di samping itu, ia boleh menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan tadabbur al-Quran dalam masyarakat.

“JAWI melalui Masjid Wilayah Persekutuan telah menyerahkan 200 naskhah al-Quran waqaf sumbangan Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam yang terkesan akibat banjir semalam.”

“Untuk rekod, JAWI melalui Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan al-Quran yang rosak akibat banjir sejak 20 Disember tahun lalu,” katanya.

Sebanyak 25,354 kilogram al-Quran rosak diterima oleh JAWI daripada individu, sekolah, SWCorp dan beberapa pihak lain termasuk dari kawasan Hulu Langat dan Mentakab, Pahang.

Majlis pelancaran program dana al-Quran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Mereka yang berminat boleh menghulurkan infaq dan sumbangan melalui kod QR yang disediakan di 89 masjid di seluruh Wilayah Persekutuan atau melalui Akaun Masjid Wilayah Persekutuan 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Berhad) yang berlangsung selama sebulan.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button