MUAR: Kerajaan memahami perit jerih dihadapi rakyat yang berhadapan impak ekonomi akibat wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap dan mendoakan pandemik COVID-19 akan pulih seberapa segera bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang.
“Saya berharap dalam situasi sukar ini, kita boleh bertahan bersama-sama. Saya tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut. Saya takut nak cakap sebenarnya, takut tersalah cakap. Saya tahu ramai di luar sana yang mengalami kesusahan.”
Beliau yang mengajak rakyat bersama-sama menghadapi detik kesukaran ini dan akan mencuba yang terbaik dengan tanggungjawab yang digalas beliau.
“Ada yang kata saya Perdana Menteri, tentulah dia boleh hidup tetapi yang di bawah ini susah. Namun saya amat faham apa dialami rakyat dan kerajaan akan berusaha yang terbaik bagi membantu rakyat yang terjejas.
“Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri amat besar dan berat, namun saya bersyukur dengan doa rakyat, saya mampu terus bekerja. Yang penting rakyat dan kerajaan berganding bahu bagi mengekang wabak COVID-19,”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, hari ini.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan akan mengambil langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 November depan, sejajar usaha memulihkan kembali kehidupan rakyat.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin akan soal ini dan akan mengambil langkah tambahan bagi membantu rakyat yang terhimpit kesan ekonomi.
Setakat ini menurut Perdana Menteri hampir RM2 bilion dibelanjakan untuk Kementerian Kesihatan, manakala untuk Sabah yang berdepan penularan COVID-19, kira-kira RM400 juta dibelanjakan dalam tempoh beberapa minggu lalu membabitkan bantuan makanan yang dihantar ke rumah dan peralatan perubatan.- Berita Harian