“Dalam sibuk mengejar urusan duniawi, janganlah sesekali lupa dan alpa perihal ukhrawi”
Ribuan hadir program Pahang Berselawat sempena sambutan Hari Malaysia
KUANTAN : Majlis Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 malam tadi diimarahkan dengan program berselawat di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy berkata program ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkannya.
“Bersempena Hari Malaysia ini, marilah kita tanamkan dalam hati sifat kesyukuran yang tinggi kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita masih dikurniakan keamanan dan kemakmuran di tanah air kita, Malaysia yang tercinta.
“Teladanilah kepimpinan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan kita untuk terus berbakti kepada negara dan masyarakat, di samping menjaga ukhwah antara satu sama lain sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Program itu, yang berlangsung lebih empat jam dan dimulakan dengan solat Maghrib serta Isyak berjemaah dan turut dihadiri Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman serta Penasihat Syariah MAPIM Malaysia, Maulana Helmi.
Selain selawat dan qasidah turut diadakan persembahan Cahaya dan Bunyi oleh Yayasan Al-Jenderami sebelum tausiah disampaikan oleh pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Program itu diakhiri dengan nyanyian lagu Bahtera Merdeka dan penyerahan sumbangan kerajaan negeri kepada pondok serta pusat pengajian tahfiz.