Dakwaan pegawai, anggota ATM ambil Ivermectin tidak benar

PETALING JAYA : Seorang pegawai perubatan menafikan dakwaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberikan preskripsi Ivermectin kepada pegawai anggotanya dalam operasi atau berada dalam latihan di kawasan hutan belantara.
Pegawai Perubatan Kanan Kementerian Pertahanan, Leftenan Kol. Dr. Rusyainie Ramli berkata, pegawai dan anggota sebaliknya diberikan ubat Pyrimethamine atau Sulfadoxime lebih dikenali sebagai Fansidar untuk profilaksis malaria.
“Tak pernah doktor-doktor dalam ATM beri preskripsi Ivermectin kepada pegawai dan anggota yang diaturgerak untuk operasi atau berada dalam latihan di kawasan hutan belantara.
“Abah saya, seorang pesara pegawai kanan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dulu pun tak makan Ivermectin. Mereka dulu diberi ubat Pyrimethamine atau Sulfadoxime atau lebih dikenali sebagai Fansidar untuk profilaksis malaria. Sekarang kami gunakan Doxycycline,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurut Rusyainie, Ivermectin hanya digunakan oleh doktor veterinar ATM untuk merawat jangkitan parasit untuk anjing unit K9 atau kuda Skuadron Istiadat Berkuda.
“Untuk pengetahuan semua, bagi pencegahan jangkitan parasit Plasmodium bawaan nyamuk Anopheles yang memberi penyakit malaria, kami gunakan Doxycycline, bukan Ivermectin.
“Dengan cara penggunaannya 100 miligram (mg) sehari sekali dua hari sebelum ke kawasan operasi yang menjadi endemik malaria. 100 mg setiap hari sepanjang tempoh berada di sana. Manakala selepas pulang, mesti teruskan 100 mg itu sehingga 28 hari, katanya.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendakwa anggota ATM sudah menggunakan Ivermectin sejak tahun 1970-an sebelum membuat operasi di hutan bagi mencegah malaria, parasit dan virus.
Oleh Hafeez Anuar