DomestikInspirasiKerohanianPendidikanSemasa

Cukur rambut bayi baru lahir, adat atau ibadat?

Anak adalah satu amanah, ujian dan anugerah yang sangat bernilai kurniaan Allah SWT. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah SWT.

Oleh itu, anak adalah tanggungjawab kepada  ibu ayah untuk mendidik, dijaga, dan dipelihara dengan sebaiknya supaya menjadi insan yang berguna.

Secara lazimnya, bayi yang baru lahir ini akan dilakukan aqiqah iaitu menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur menzahirkan kegembiraan melalui bersedekah.

Namun, ada juga dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan cukur rambut bayi dan ditimbang nilainya menggunakan nilai emas atau perak untuk disedekahkan.

Sejauh manakah amalan ini di sisi agama, adakah sekadar turun-temurun masyarakat ataupun sunnah Rasulullah SAW?

Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memetik satu hadis daripada Saidina Ali RA berkata, Rasulullah SAW melakukan aqiqah seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda yang bermaksud:

“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” Riwayat al-Tirmizi

Justeru itu, amalan mencukur rambut bayi dan menimbang nilainya merupakan amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan ia bukan adat semata-mata.

Amalan ini disunatkan untuk dilakukan pada hari ketujuh kelahiran selepas penyembelihan aqiqah.

Ia tanda kegembiraan dan kesyukuran dikurniakan zuriat melalui bersedekah. Tambahan pula cara ini dapat membawa keberkatan dalam hidup. Jadikanlah sunnah mencukur rambut bayi yang baru lahir sebagai amalan yang berterusan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button