Covid19DuniaSemasa

COVID19: Keberkesanan ujian klinikal herba Cina dalam merawat pesakit

KARACHI: Ketika gelombang kelima pandemik melanda negara Asia Selatan itu, hasil ujian klinikal ubat herba tradisional Cina bagi tujuan merawat COVID-19 telah diumumkan oleh pihak berkuasa kesihatan Pakistan, hari ini.

Jinhua Qinggan Granules merupakan ubat yang dihasilkan oleh Juxiechang (Beijing) Pharmaceutical Co Ltd, dan telah digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 di China.

Pengarah Pusat Sains Kimia dan Biologi Antarabangsa, Prof Iqbal Chaudhry, berkata ujian klinikal ubat herba tradisional Cina itu dilakukan kepada pesakit yang dijangkiti dengan beberapa varian COVID-19.

“Disebabkan ia diuji kepada pesakit yang dijangkiti pelbagai varian COVID-19, kami menjangkakan ia berkesan terhadap Omicron serta varian lain,” katanya.

Menurut ketua ujian klinikal berkenaan, Dr Raza Shah, berkata ujian itu melibatkan 300 pesakit yang dirawat di rumah bagi kes COVID-19 ringan dan sederhana dengan kadar keberkesanan 82.67 peratus.

Di samping itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Pakistan juga telah meluluskan ujian klinikal tersebut.

Pakistan mencatat jumlah 4,340 kes COVID-19 hari ini yang juga merupakan kes harian tertinggi dicatatkan dalam tempoh tiga bulan dengan Karachi merekodkan kadar positif 39.39 peratus pada hujung minggu lalu.

Pusat Operasi Pentadbiran Nasional Pakistan yang bertanggungjawab mengurus tindak balas pandemik dilaporkan berkata, peningkatan sebanyak 170 peratus dalam kes COVID-19 sejak tempoh tujuh hari lalu manakala kes kematian melonjak kepada 62 peratus. – Reuters

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button