Covid19DomestikSemasa

COVID-19: Tiga kluster membabitkan institusi pendidikan

SEREMBAN: Satu lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 membabitkan institusi pendidikan dikesan di Negeri Sembilan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata kluster terbaru itu ialah Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau, membabitkan sebuah sekolah tahfiz dengan 72 kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), semalam.

“Punca kluster berkenaan masih disiasat Pihak Kementerian Kesihatan dan akan diumumkan kemudian, manakala satu lagi kluster yang diumumkan di negeri ini hari ini ialah Kluster Tembok Jelebu 2 membabitkan dua kes.

“Setakat semalam, terdapat 218 kes baharu positif COVID-19 yang telah dilaporkan di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, terdapat dua kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan semalam.

“Secara keseluruhannya terdapat 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, dua kluster pendidikan dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Sikamat membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir dan Kluster Jalan Ban Aik 2 membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai, di sini.

Media melaporkan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam, menegaskan tiada keperluan bagi menutup sekolah berasrama di negara ini, walaupun terdapat peningkatan kluster COVID-19 di sekolah itu kerana sebahagian besarnya hanya membabitkan gejala ringan ataupun tiada gejala.

Khairy berkata, penutupan sekolah dilihat sebagai langkah ke belakang kerana peratusan vaksinasi remaja sudah mencapai 90 peratus.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button