Covid19PendidikanSemasa

COVID-19: Pemberian vaksin ‘jalan keluar’ pelajar kembali ke sekolah

Kerajaan luluskan vaksin Comimaty untuk kanak-kanak berumur 12 ke atas

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama pada tahun hadapan disifatkan ‘jalan keluar’ terbaik untuk membolehkan pelajar kembali segera ke sekolah walaupun negara masih ‘bertarung’ dengan jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin ia merupakan khabar gembira seterusnya memberi sinar kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sehingga menjelangnya tarikh peperiksaan.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pic: BeritaHarian

“Apabila tidak mengambil vaksin, risiko jangkitan Covid-19 lebih besar sehingga boleh menyebabkan kesan akut dalam jangka masa panjang. Apa yang paling penting, apabila pelajar menerima vaksin, secara tidak langsung akan mengurangkan gangguan terhadap proses pembelajaran sekali gus pelajar boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,” – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan / Khairy Jamaluddin

Kerajaan telah meluluskan vaksin Comimaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak yang berumur 12 ke atas dan dijangka akan diterima calon peperiksaan pada pertengahan Julai depan untuk dos pertama.

Memetik akhbar Berita Harian, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh berpendapat vaksin yang bakal diterima itu menjadi perisai terbaik pelajar khususnya calon peperiksaan, terutama dapat melindungi mereka daripada komplikasi teruk COVID-19.

Meskipun dapatan menunjukkan gejala COVID-19 yang dihadapi kumpulan kanak-kanak hingga usia 17 tahun adalah lebih ringan berbanding orang dewasa, usaha pemberian vaksin itu sangat penting untuk memberi keyakinan kepada pelajar bahawa mereka telah dilindungi sebelum kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran.

Dr Rosnida berkata, berdasarkan situasi semasa dan pendedahan maklumat berkaitan vaksin melalui pelbagai saluran media, pelajar kini dilihat bersikap lebih terbuka dan yakin program vaksinasi seperti yang dirancangkan, akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Lazimnya, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti pelajar SPM dan STPM sudah cukup bijak dan matang dalam mencari informasi yang tepat mengenai vaksin daripada sumber-sumber yang sahih. Mereka ini boleh membuat keputusan sendiri dan saya rasa mereka (akan) lebih bersikap terbuka untuk menerima vaksin,” – Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh / Dr Rosnida Mohd Noh

Tambah beliau, pelajar tidak perlu berasa bimbang dengan kesan sampingan seperti demam dan sakit kepala yang biasanya akan dialami penerima vaksin, kerana ia hanya bersifat sementara.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad pula berpandangan, pemberian vaksin kepada calon peperiksaan perlu lebih bersasar.

Dengan jangkaan kasar jumlah pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini sekitar 500,000 orang, oleh itu sasaran (pelajar) perlu jelas supaya pelajar yang berkeperluan diberikan vaksinasi terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran mereka.

“Amat diharapkan, pemberian vaksin akan disegerakan serta diperluaskan untuk pelajar lain (bukan calon peperiksaan). Saya yakin, kebanyakan pelajar akan mendaftar untuk menerima vaksin kerana orang muda (biasanya) lebih faham kepentingan vaksin untuk kesihatan mereka,” – Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) / Dr Anuar Ahmad.

Dr. Anuar turut menyatakan sekiranya pemberian vaksin dibuat secara berperingkat, kumpulan pelajar luar bandar yang mempunyai kesukaran mendapatkan akses internet perlu diberi keutamaan. Langkah ini perlu supaya pelajar berkenaan boleh meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah. –  BH Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button