NEWARK : Presiden Amerika yang baru dipilih, Joe Biden, 78, telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di televisyen secara langsung pada hari Isnin di Hospital Christiana di Newark, Delaware, bagi menyampaikan mesej kepada warga Amerika bahawa vaksin selamat untuk diambil.
Biden menerima suntikan vaksin Pfizer bersama isterinya, Jill yang telah disuntik lebih awal.
“Saya melakukan ini untuk menunjukkan bahawa orang ramai harus bersiap sedia apabila vaksin tersebut sudah tersedia untuk diambil,” kata Biden di Newark.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan”.
Bagaimanapun, Biden memperingatkan warga Amerika untuk terus berwaspada pada beberapa bulan yang mendatang.
“Ini akan memakan masa,” katanya, mendorong orang ramai untuk terus memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial. “Sekiranya anda tiada keperluan untuk pergi melancong, jangan pergi melancong,” – Joe Biden / Presiden Amerika
Pasangan itu menjadi figura politik berprofil tinggi terbaharu menyertai gelombang pertama program vaksinasi bertujuan menghentikan penyebaran Covid-19 yang meragut hampir 318,000 nyawa di negara itu.
Minggu lalu, Naib Presiden, Mike Pence dan isterinya turut menerima suntikan vaksin COVID-19 namun Presiden Donald Trump yang telah menghabiskan tiga harinya di hospital disebabkan oleh COVID-19 pada Oktober lalu, tidak menyatakan bila beliau akan mengambil suntikan vaksin itu.
– Nabil Najwan Zainuri (Pelajar Fakulti Animasi UiTM)