Geneva: Kes covid-19 yang direkodkan meningkat secara global dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai COVID-19, walaupun kadar ujian dijalankan menurun dengan ketara.
Menurut WHO, kes COVID-19 dilaporkan meningkat semula secara global sebanyak lapan peratus pada minggu lalu, dengan lebih 11 juta kes serta lebih 43,000 kematian baru didaftarkan, walaupun setelah berminggu-minggu direkodkan penurunan kes.
Sementara di rantau Pasifik Barat, kes baharu meningkat sebanyak 29 peratus, minggu lalu.
Sejak akhir Disember, bilangan kes meningkat di negara Pasifik Barat mengatasi Eropah sebagai Kawasan panas global untuk kes baharu yang dikesan dengan 5.02 juta berbanding 4.99 juta di Eropah.
Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove, berkata melalui sidang medianya walaupun terdapat pengurangan ketara dalam ujian yang dilakukan di seluruh dunia tapi turut merasa bimbang berhubung dengan keadaan itu.
Manakala, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus turut memberi amaran dan bersetuju dengan kurangnya pengesanan kes akibat penurunan ujian, bermakna kes yang dilihat hanya ibarat puncak ais ( yang dapat dilihat) sahaja.
“Kita tahu bahawa apabila kes meningkat, kematian juga meningkat. Kami menyeru semua negara untuk terus berwaspada,” katanya sambil menekankan wabak itu belum berakhir dan menyifatkan angka kematian tinggi di banyak negara tidak boleh diterima, terutamanya di mana tahap vaksinasi rendah dalam kalangan populasi yang terdedah.
Sementara itu, Van Kerkhove berkata pihaknya percaya enam juta kematian yang direkodkan secara rasmi dalam tempoh lebih dua tahun ini, beberapa kali ganda lebih tinggi angka sebenar kematian akibat COVID-19 berbanding dulu.
Katanya, varian Omicron yang masih tersebar pada tahap sangat sengit di seluruh dunia dan gabungan beberapa faktor membolehkan berlaku peningkatan semula dalam kes yang dilaporkan.
“Salah satu sub varian itu, BA.2, sangat mudah tersebar dan kini paling kerap ditemui dalam sampel yang dikumpul dan disusun.
“Ini adalah varian paling mudah tersebar yang kami lihat daripada virus SARS-CoV-2 setakat ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata banyak negara kini menarik semula sekatan COVID-19 walaupun tidak keseluruhannya.
“Selain itu akses dan pengambilan vaksin bersifat tidak adil dan tidak sekata, menjadikannya lebih mudah untuk virus itu merebak,” katanya.
Van Kerkhove berkata, pihaknya gusar mengenai sejumlah besar maklumat salah yang berada di luar sana bahawa Omicron adalah ringan, atau pandemik sudah berakhir serta ini (Omicron) adalah varian terakhir dan ia perlu kita tangani.
“(Semua maklumat salah) ini benar-benar menyebabkan banyak kekeliruan,” katanya.
Ven Kerkhove bagaimanapun mengakui dunia kini tahu kaedah untuk mengawal COVID-19.
“Berita baiknya ialah kita mempunyai alat yang boleh mengurangkan penyebaran. Kita tahu bahawa alat pelitup muka berfungsi.
“Kita tahu bahawa penjarakan fizikal berfungsi dan kita tahu bahawa vaksin menyelamatkan nyawa di mana ia perlu diteruskan,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today