KUALA LUMPUR: Jumlah penerima dos penggalak vaksin COVID-19 semakin meningkat sehingga mencatatkan seramai 160,310 individu dewasa di Malaysia semalam, menjadikan jumlah kumulatif dos penggalak diberi kepada populasi berkenaan sebanyak 10,399,699 atau 44.4 peratus.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 22,914,736 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,192,052 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,779,564 individu atau 88.3 peratus sudah lengkap vaksinasi, manakala 2,863,594 individu atau 91 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sejumlah 163,942 dos vaksin ditunjukkan dalam statistik harian yang diberikan semalam membabitkan 1,368 dos pertama dan 2,264 dos kedua serta 160,310 dos penggalak.
Ini menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,946,138 dos.
Sehingga kini, sebanyak 79.8 peratus populasi keseluruhan menerima sekurang-kurangnya satu dos yang berjumlah seramai 26,055,646 orang, sementara populasi yang lengkap vaksinasi membabitkan 78.7 peratus atau 25,694,300 orang.
Bagi dos penggalak pula, seramai 10,399,699 penerima sudah menerima dos berkenaan atau mewakili 31.8 peratus.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today