
Pandemik Covid-19 dijangka dapat dikawal oleh semua negara dunia dalam tempoh kurang dua tahun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO.
Manakala negara-negara di Eropah dalam tempoh itu sedang berusaha melawan penularan kes-kes baru.
Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus turut membandingkan kesan COVID-19 dengan pandemik selesema pada 1918.
“Kita mempunyai kelemahan dari aspek globalisasi, ketersambungan, tetapi dengan kelebihan teknologi yang lebih baik, kita berharap dapat mengatasi penularan wabak ini dalam masa kurang dua tahun dari sekarang,” katanya kepada para wartawan.
“Dengan memanfaatkan sepenuhnya peralatan yang ada dan berharap kita dapat memiliki kelengkapan tambahan seperti vaksin, saya rasa kita dapat mengatasinya dalam masa yang lebih singkat jika dibandingkan dengan selesema 1918”, katanya.
WHO juga menyarankan agar kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas memakai pelitup muka dalam situasi yang sama dengan orang dewasa kerana penggunaan pelitup berupaya menghentikan penularan virus tersebut.
Tanpa vaksin yang berkesan, kaedah paling penting yang dimiliki pemerintah adalah dengan mengawal pergerakan penduduk atau menguatkuasakan penjarakan sosial.
Bahagian barat Eropah menyaksikan paras jangkitan yang belum pernah berlaku sejak beberapa bulan sebelum ini, terutama sekali di Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku gelombang kedua jangkitan virus tersebut.
Di ibu negara Sepanyol, Madrid, pihak berkuasa mengesyorkan para penduduk di kawasan yang paling terjejas supaya terus duduk di rumah untuk membantu membendung penularan virus itu selepas negara tersebut mencatatkan lebih 8,000 kes baru dalam tempoh 24 jam.
Perancis juga melaporkan kes harian yang melebihi 4,000 kes dalam tempoh dua hari berturut-turut, perangkaan yang tidak pernah dilihat sejak Mei – dengan penduduk di kawasan metropolitan membentuk sebahagian besar daripada jangkitan baru itu.
Lubnan adalah negara terkini yang menguatkuasakan semula sekatan yang ketat selama dua minggu mulai Jumaat termasuk perintah berkurung sebelah malam bagi mengurangkan peningkatan kes jangkitan sedang negara itu menangani tragedi letupan dahsyat di ibu kota Beirut yang mengorbankan berpuluh-puluh orang pada awal bulan.
Statistik terbaru kes positif Covid-19 di seluruh dunia mencecah 22.7 juta kes, manakala kes kematian menghampiri 800,000.
Dalam tempoh 24 jam lalu, lebih 5,00 maut menjadikan jumlah keseluruhan 795,626 kes.
-AFP