BanjirCovid19DomestikSemasa

COVID-19: 2 kes dikesan dalam kalangan mangsa banjir

PUTRAJAYA:  Terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada 25 kes sehingga kini, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kedua-dua pesakit berkenaan sudah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas.

“Tiada kluster dalam kalangan mangsa banjir dilaporkan di PPS. Selain daripada kes COVID-19, KKM turut mengesan tujuh kes membabitkan kes jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI) dan satu kes penyakit kulit.

“Tiada kes konjunktivitis, typhoid, kolera, leptospirosis dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 3 petang semalam, sebanyak 54 PPS yang dibuka membabitkan 15 daerah dengan mangsa sebanyak 9,741 orang.

“Sebanyak dua fasiliti kesihatan di negeri Terengganu terjejas banjir (tahap 1) iaitu Klinik Kesihatan (KK) Wakaf Tapai, Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus. Bagaimanapun, kedua-dua fasiliti berkenaan dilaporkan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button