
KUALA LUMPUR: Semalam dilaporkan sebanyak 18 kes kematian akibat COVID-19 dengan tiga daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Laman sesawang COVIDNOW menunjukkan data kes kematian terkumpul akibat covid-19 adalah seramai 31,609 setakat tengah malam tadi dengan 6,378 daripadanya adalah kes BID.
Tiga kematian dilaporkan masing-masing di Pahang, Perak dan Selangor, dua kematian masing-masing di Kedah, Melaka dan Kuala Lumpur, manakala satu kematian di Kelantan, Sabah dan Terengganu.
Selain itu, sebanyak 39,739 kes aktif dilaporkan membabitkan 32,509 kes yang menjalani kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (3,574 kes) dan seramai 3,399 pesakit menjalani rawatan di hospital setakat tengah malam tadi.
Sebanyak 245,326 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, membabitkan 238,720 dos penggalak, satu dos (2,747) dan dos lengkap (3,859).
87.8 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sudah menerima vaksinasi lengkap sehingga semalam, manakala populasi dewasa kekal pada paras 97.7 peratus.
Dalam pada itu, COVIDNOW turut melaporkan perincian kadar penggunaan sistem kesihatan awam, termasuk bagi kes bukan COVID-19.
Sebanyak 64.2 peratus digunakan dengan 28.3 peratus menempatkan pesakit COVID-19 bagi kapasiti katil hospital di seluruh negara.
Terdapat pertambahan seramai 1,170 orang semalam, berbanding 864 orang kelmarin, berdasarkan graf kadar harian pesakit COVID-19 yang ditempatkan di wad.
Selain itu, turut dilaporkan sebanyak 37.3 peratus pesakit yang dirawat di hospital, termasuk bukan kes COVID-19 perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.
Penggunaan unit rawatan rapi (ICU) ketika ini mencatatkan kadar 56.5 peratus dengan 26.5 peratus membabitkan pesakit COVID-19.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today