PUTRAJAYA : Sejumlah 1,000 kes pulih COVID-19 dicatat pada Sabtu (31/10) menjadikan jumlah kes pulih paling tinggi sejak permulaan pandemik itu di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes baharu yang dicatat juga turun kepada 659 kes dengan tiada kematian dan tanpa pertambahan kluster baharu dilapor.
Dengan itu katanya jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 di negara ini adalah 21,248 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 10,051 kes.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini. Justeru, jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster”
Mengulas lanjut dalam sidang media harian perkembangan situasi Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata Sabah dan Lembah Klang menyumbang sebanyak 599 kes atau 90.9 peratus daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.