Bulan suci Ramadan menjelma lagi di mana seluruh umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa.
Puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadan.
Namun, umat Islam haruslah ketahui cara untuk menyambut kedatangan Ramadan agar amal baik yang dilakukan memberikan rahmat dan keberkatan.
Perbaiki niat merupakan salah satu cara yang harus dilihat. Tanpa niat maka ia tidak dikira sebagai ibadah dan boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat untuk menghadapi Ramadan ini hanya kerana Allah.
Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”. (Al-Bayyinah: 5)
Selain itu, haruslah memperbanyakkan berdoa dan membaca al-Quran. Ramadan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia.
Nabi Muhammad SAW juga menasihatkan umatnya agar bersedekah dan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Sedekah dan memberi makan di bulan Ramadan mempunyai ganjarannya yang tersendiri.
Sebagai umat Islam, untuk mendapatkan kerahmatan dan keberkatan dalam bulan Ramadan juga haruslah melakukan qiyam iaitu dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT. Rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan amal-amal yang lain di siang harinya agar ganjaran yang telah disediakan oleh Allah SWT ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
Riwayat Al-Bukhari (38)