Burung merak haram untuk dimakan
PUTRAJAYA : Burung merak disahkan haram untuk dimakan disebabkan haiwan tersebut termasuk dalam kategori sebagai jijik.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) memberi penjelasan mengenai hukum tersebut menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-670 dikeluarkan semalam.
Menurut PMWP, berdasarkan penjelasan tersebut, ia menafikan bahawa pengharaman memakannya bukanlah disebabkan sifat semula jadi burung merak yang sombong dan suka berbanggsa diri kerana kecantikan.
“Mengikut pandangan mazhab Syafie, burung itu haram dimakan dan masyarakat Arab beranggapan bahawa ia adalah binatang yang jijik.
“Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan memakan daging burung merak, namun pendapat yang paling sahih di dalam mazhab Syafie ialah memakan daging burung merak adalah haram,” katanya.
Dalam pada itu, antara sebab pengambilan hukum berdasarkan pandangan masyarakat Arab sebagai penentuan halal dan haram dalam pemakanan kerana mereka adalah umat yang mula-mula menerima syariat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.