DomestikSemasa

Bunyi siren sebagai penyelamat

KUALA LUMPUR : Komuniti penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang berjaya menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat disebabkan bunyi siren yang kuat sebagai amaran kepada penduduk dan mengelakkan lebih ramai mangsa dalam  kejadian tanah runtuh di sini semalam.

Natasya Alya Saifudin,26  merupakan pekerja swasta dalam sektor perbankan berkata,  kira-kira 5 petang semalam buat pertama kalinya kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun dan tidak percaya ia boleh berlaku.

“Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

“Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Apabila diceritakan kembali detik cemas itu, Natasya Alya yang berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menghubungi bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu e-hailing untuk segera pulang pada ketika itu.

Tambahnya lagi,  sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terlibat dalam bencana alam mahupun banjir, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda ini  sangat  mengejutkan penduduk setempat.

Sementara itu, Tong Kwn Chew 53, berkata beliau hanya menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih yang bertentangan dengannya.

“Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

“Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan),” katanya  yang terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan dan dia bermalam di hotel bersama keluarganya.

Tong berkata, kejadian tanah runtuh tersebut pertama kali berlaku semenjak 23 tahun menetap di situ dan bersyukur kejadian itu tidak mengancam keselamatan keluarganya.

Manakala, seorang Wanita berusia 50-an yang enggan dikenali, telah menetap selama 20 tahun di perumahan tersebut turut berasa syukur dirinya selamat dalam bencana itu.

“Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Tambahnya lagi, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur sebaik sahaja dia keluar dari rumah.

Insiden ini telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas disebabkan oleh kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang petang semalam.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button