Semasa

Bunuh rakan universiti, 20 pelajar kena hukuman mati

DHAKA : Hukuman mati dijatuhi kepada 20 pelajar universiti kerana membunuh Abrar Fahad, seorang pelajar berusia 21 tahun, pada 2019 kerana mengkritik kerajaan di media sosial di Bangladesh.

Pendakwa Raya, Abdullah Abu, berkata lima orang lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Kesemua mereka yang dijatuhkan hukuman mati itu berumur antara 20 hingga 22 tahun dan mereka semua pelajar di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh bersama Fahad.

Tiga daripada pesalah masih bebas manakala selebihnya di mahkamah, diwakili peguam, bersiap sedia untuk mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman mereka.

Barkat Ullah, bapa mangsa, berasa puas hati dengan keputusan itu dan berharap hukuman itu dapat dilaksanakan dengan segera.

Mayat Fahad yang lebam ditemui di bilik universitinya beberapa jam selepas dia menyiarkan catatan Facebook yang mengkritik Perdana Menteri Sheikh Hasina kerana menandatangani pakatan perkongsian air dengan India.

Selama enam jam, dia dibelasah dengan kayu kriket dan barangan kasar lain oleh sekumpulan 25 pelajar yang juga ahli sayap pelajar Liga Awami yang memerintah, Liga Chhatra Bangladesh (BCL).

Video itu dicuri daripada kamera litar tertutup yang dibocorkan dan kemudian diedarkan secara meluas di media sosial.

Di Bangladesh, hukuman mati adalah perkara biasa  dengan ratusan orang berdepan hukuman mati saban tahun.

Enam radikal Islam dihukum mati pada Ogos kerana pembunuhan kejam dua pejuang hak homoseksual.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button