DuniaSemasa

Britain peruntuk £30 juta kepada negara jiran Afghanistan bantu pelarian

LONDON : Kerajaan Britain mengatakan akan memperuntukkan £30 juta (RM1.72 billion) bantuan kepada negara-negara jiran Afghanistan yang mengendalikan pelarian yang melarikan diri dari negara itu sejak Taliban kembali berkuasa.

Britain berkata £10 juta akan segera disalurkan untuk agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan kemanusiaan lain untuk membantu dalam penyediaan tempat perlindungan dan kemudahan sanitasi di sempadan.

Baki peruntukan selebihnya akan disalurkan ke negara-negara yang mengalami sejumlah besar pelarian untuk menyediakan perkhidmatan dan bekalan penting, katanya.

“Sangat penting bagi kita untuk membantu mereka yang melarikan diri dari Afghanistan dan tidak membiarkan krisis di sana merosakkan kestabilan wilayah,” kata menteri luar negeri Britain, Dominic Raab.

PBB memberitahu setengah juta rakyat Afghanistan dijangka akan meninggalkan tanah air mereka pada akhir tahun ini.

Ramai yang melarikan diri dari negara itu dipercayai menuju ke Pakistan, sementara jiran Afghanistan yang lain, Tajikistan telah berjanji untuk menerima 100,000 pelarian.

Britain sendiri memaklumkan akan mengambil kira-kira 20,000 pelarian Afghanistan dengan 5,000 dijangka akan tiba pada tahun pertama.

Awal bulan ini, UK mengumumkan akan menggandakan bantuan kemanusiaan dan pembangunannya kepada Afghanistan menjadi 286 juta pound tahun ini

Masyarakat antarabangsa sedang mencari cara untuk bertindak balas setelah pengambilalihan Taliban di Afghanistan.

Kumpulan itu sebelum ini mengatakan bahawa hak wanita akan terpelihara, tetapi rata-rata rakyat di Afghanistan masih takut dan rasa terancam dengan pentadbiran Taliban.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button