
CHITTAGONG: Cubaan melarikan diri dari sebuah kem di sebuah pulau di Bangladesh tidak kesampaian apabila bot yang dinaiki karam hingga mengakibatkan kira-kira 27 pelarian Rohingya hilang.
Dilaporkan hampir 2,000 etnik Rohingya ditempatkan di sebuah pulau dikenali sebagai Bashan Char terletak di Teluk Bengal yang sering dilanda taufan setiap tahun.
Berdasarkan rancangan awal, Bangladesh ingin mengurangkan kepadatan kem di tanah besar dengan memindahkan 100,000 orang daripada sejuta pelarian Rohingya ke pulau itu.
Namun, beberapa pelarian mendakwa mereka dipaksa utnuk berpindah sementara ribuan orang lagi memprotes kerana tidak berpuas hati dengan keadaan hidup di pulau terbabit.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) berkata pihaknya peka dengan laporan yang diterima oelh pelarian yang ditahan kerana cuba melarikan diri dari Bashan Char.
Menurut laporan pihak polis, bot memancing kecil yang menampung 41 pelarian Rohingya tenggelam selepas berdepan dengan cuaca buruk di Teluk Bengal semalam.
Polis berkata misi pencarian sedang dijalankan dan setakat ini 14 orang dijumpai.
“Kapal tentera laut dan sebuah helikopter turut menyertai misi pencarian,” kata Pentadbir Kerajaan untuk Bashan Char, Sujit Kumar Chanda kepada AFP sambil menambah mangsa hilang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Chanda berkata seorang kanak-kanak berusia dua tahun berjaya diselamatkan bapanya.
Menurut polis, beberapa bulan lalu sejumlah etnik Rohingya yang melarikan diri dari pulau itu berjaya ditahan di bandar pesisir Wilayah Chittagong, Bangladesh.
Juru kempen Amnesty International Asia Tenggara, sebuah agensi hak asasi manusia, Saad Hammadi menggesa Bangladesh menyusun atur penempatan semula pelarian ke pulau terbabit atas faktor sukarela dan pelarian berhak untuk bergerak bebas antara pulau dan tanah besar.
-AFP
Oleh Nurshazlin Shahrom