Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Ada sesetengah keluarga di Malaysia mempunyai hubungan persaudaraan yang sangat rapat. Disebabkan itu terkadang hubungan antara sepupu membawa kepada berputiknya rasa cinta sesama mereka.
Jadi boleh ke dalam Islam kita kahwin dengan sepupu? Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah.
Berdasarkan hukum asas perkahwinan diantara sepupu adalah harus mengikut syarak. Hal ini kerana sepupu tidak termasuk dalam kalangan atau golongan mahram (haram nikah).
Akan tetapi di dalam Islam sangat mengalakkan agar umatnya bernikah dengan wanita asing (selain daripada kerabat) bagi zuriat dan keturunan yang dilahirkan lebih sihat dan kuat. Secara tidak langsung mengembangkan lagi jalur keturunan.
Dalil al-Quran mengenai kebenaran berkahwin dengan sepupu adalah berdasarkan surah al-Ahzab ayat 50:
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu.”
Jadi kepada mereka yang mempunyai pilihan untuk berkahwin dengan perempuan atau lelaki selain sepupu adalah lebih digalakkan dalam Islam kerana akan melahirkan zuriat yang lebih sihat dan kuat.
Keturunan dan hubungan persaudaraan lebih terjamin dengan baik. Namun sekiranya sepupu adalah pilihan yang ada dan terbaik maka diharuskan oleh syarak.
Jadi diingatkan bahawa matlamat perkahwinan adalah untuk mencapai keredaan Allah SWT. Oleh itu, elakkan diri daripada maksiat dan berkahwinlah dengan pilihan yang terbaik.