Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggesa agar dihentikan serangan yang semakin meningkat oleh peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang dijajah.
Keganasan peneroka haram terhadap rakyat Palestin semakin meningkat sejak serangan Hamas ke atas Israel selatan pada 7 Oktober dan pengeboman berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung.
Beberapa rakyat Palestin telah dibunuh oleh peneroka haram, menurut pihak berkuasa Palestin. Kumpulan hak asasi manusia berkata, peneroka haram telah membakar kereta dan menyerang beberapa komuniti kecil Badwi, memaksa mereka berpindah ke kawasan lain.
Biden berkata bahawa serangan oleh “peneroka pelampau” mesti ditamatkan.
“Ia perlu berhenti. Mereka perlu bertanggungjawab. Ia perlu berhenti sekarang,” kata Biden pada hari Rabu.
Serangan peneroka haram telah meningkat secara berterusan selama beberapa bulan sebelum pertempuran antara Israel dan kumpulan bersenjata Palestin Hamas yang mentadbir Gaza.
Di Tebing Barat yang dijajah, ketegangan meningkat apabila Israel melakukan penangkapan besar-besaran dan meningkatkan serbuan tentera, dan peneroka telah melakukan serangan ke atas rakyat Palestin, memaksa beberapa komuniti keluar dari tanah mereka .
Konsortium Perlindungan Tebing Barat, gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan negara penderma, termasuk Kesatuan Eropah, berkata bahawa beratus-ratus rakyat Palestin telah dipindahkan secara paksa akibat serangan peneroka haram.
Biden berkata serangan peneroka “menuangkan petrol” ke situasi yang sudah berbahaya, tetapi tidak menyatakan langkah apa, jika ada, AS akan ambil untuk menekan Israel supaya mengekang serangan yang kadangkala berlaku di hadapan askar Israel .