Biasiswa Tabung Endowmen UTM manfaatkan 716 pelajar
Sejumlah dana RM27 juta pembiayaan biasiswa telah diberikan

JOHOR BAHRU: Seramai 716 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kurang berkemampuan telah mendapat manfaat pembiayaan biasiswa menerusi Tabung Endowmen dengan anggaran dana sebanyak RM27 juta setakat ini.
Pengarah Endowmen UTM, Profesor Madya Dr Yusof Boon berkata pemberian biasiswa semenjak 2011 sehingga kini itu, jelas menunjukkan bahawa UTM sentiasa komited dalam membantu pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkata tapisan dan temu bual dibuat bagi memastikan pelajar yang benar-benar layak mendapat pembiayaan sepanjang pengajian dan bantuan diberikan tanpa mengira kaum, latar belakang, fakulti dan negeri.
Tambah beliau, UTM adalah antara universiti awam di negara ini yang mempunyai Unit Endowmen dengan tujuan membantu pelajar B40 dan satu daripada objektif pewujudannya ialah membantu pelajar dengan pemberian biasiswa dengan sebahagian besar penerima Biasiswa Endowmen UTM (melibatkan 385 orang) telah menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang B40 adalah sebanyak RM6,000 satu semester atau RM12,000 setahun dengan syarat penerima harus memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas setiap semester.
“Sementara pelajar B40 pula menerima biasiswa bernilai RM5,000 satu semester atau RM10,000 setahun dengan syarat memperoleh CGPA 3.00 ke atas pada setiap semester,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata Tabung Endowmen yang diwujudkan pada 2009 telah mula menawarkan biasiswa dua tahun kemudian bermula pada 2011 dengan hasil sumbangan dana daripada pelbagai pihak seperti staf, alumni, masyarakat, organisasi, badan korporat dan menerusi projek-projek seperti penjualan no plat UTM serta program pendanaan awam, kursus dan latihan.
Yusof berkata lebih 900 kakitangan UTM turut memainkan peranan memberikan sumbangan tetap melalui pemotongan gaji bulanan dengan keseluruhan nilai sumbangan berjumlah hampir RM30,000 setiap bulan.
Beliau berkata jumlah kumulatif dana Tabung Endowmen UTM sehingga kini berjumlah hampir RM138 juta sejak diperkenalkan, yang turut digunakan bagi pelaksanaan penyelidikan melalui penajaan Kursi Profesor, penerbitan jurnal dan buku saintifik serta program berimpak tinggi.
Pelbagai bentuk sumbangan katanya, turut diberikan kepada pelajar dan juga masyarakat menerusi dana itu seperti bantuan kewangan sempena perayaan, bencana serta bantuan dan pinjaman komputer riba.
“Kita turut memberikan makanan percuma kepada pelajar, kakitangan dan asnaf, bantuan kepada mangsa banjir di Johor dan Selangor, serta membina dua rumah pelajar B40 UTM yang pernah terlibat dalam kebakaran dan terbengkalai. Tidak lupa juga pemberian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sepanjang pandemik COVID-19”, katanya.
Meskipun dana Tabung Endowmen UTM berjumlah hampir RM138 juta dan disifatkan antara tertinggi bagi universiti awam di Malaysia, Yusof mengharapkan agar suatu hari nanti ia akan menjadi sebaris dengan dana Tabung Endowmen universiti-universiti ternama seperti Universiti Harvard dan lain-lain.
Kita sebenarnya masih jauh ketinggalan berbanding dana Tabung Endowmen universiti ternama seperti Universiti Harvard yang mempunyai dana US$40.9 bilion, Universiti Stanford pula US$14.46 bilion dan Universiti Nasional Singapura (NUS) sebanyak S$9.5 bilion.
“Satu daripada sumber utama Tabung Endowmen universiti ternama berkenaan datangnya daripada sumbangan dana alumni mereka”, katanya.
Justeru, beliau mengharapkan agar ramai pihak terutama lebih 200,000 alumni UTM untuk turut sama menyumbang ke Tabung Endowmen UTM agar lebih ramai pelajar dan masyarakat dapat dibantu.
Yusof berkata kerajaan juga boleh memberikan sokongan kepada inisiatif endowmen universiti awam agar aktiviti pendanaan dan penjanaan dapat dilaksanakan dengan lebih kreatif dan inovatif, dengan pemberian peratus pelepasan cukai pendapatan yang lebih tinggi, berbanding kadar yang diberikan kepada penderma individu dan syarikat sekarang.
Pada masa yang sama, universiti awam boleh meningkatkan peluang untuk pelajar B40 melanjutkan pengajian melalui biasiswa yang ditawarkan selaras dengan agenda nasional dalam membangunkan kelompok kepakaran demi kemakmuran negara. – BERNAMA
BACA JUGA
Gadis Palestin korban terbaharu tentera israel laknatullah