TEBING BARAT : UPDATE – Gambar seorang tentera Israel, menekan lututnya di kepala seorang warga emas Palestin tular di media sosial.
Sambil menjerit ke arah warga tua itu, kekerasan turut dikenakan ke atasnya bagi menghalang pergerakan beliau yang ditahan dalam satu demonstrasi bantahan penjajahan ke atas tanah Palestin pada 1 September lalu.
Khairi Hanoun, dikatakan terbabit dalam demonstrasi di perkampungan Shufah, yang terletak bersempadan di antara Nablus dan Tulkarm, di Tebing Barat.
Dalam satu video yang tular, Hanoun dikatakan menyentuh seorang tentera Israel, lalu dijatuhkan ke tanah dan ditekan dengan lutut pada masa sama dia telah pun wayar plastik.
Kejadian ini disamakan netizen dengan kejadian lelaki kulit hitam di Amerika Syarikat George Floyd yang meninggal dunia dalam tahanan polis.
Kisah ini juga disiarkan oleh saluran televisyen Palestin, dengan sebahagiannya menularkan tanda pagar #PalestinianLivesMatter.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin Saeb Erakat dalam ciapan di Twitter beliau, menyifatkan perbuatan itu sebagai satu kekerasan.
Manakala HAMAS berkata kejadian seumpamanya ini sering menjadikan ketegangan terus berlaku di Palestin.
Tentera Israel dalam pada itu, mempertahankan tindakan Barisan Pertahanan Israel, IDF, sebagai satu tindakan bagi mereka yang bertindak balas terhadap operasi ketenteraan dan tidak menggambarkan kisah sebenar yang berlaku.