Semasa

Bertahun-tahun dera fizikal & mental ibu sendiri, dia dipenjara 56 minggu

Tergamak pukul alat kelamin ibu dengan mangga besi!

SINGAPURA 24 Mac : Bertahun-tahun dipukul anak sendiri, ditumbuk di muka,  didera fizikal dan mental -akhirnya anak dihumban ke penjara selama 56 minggu.

Seorang lelaki di Singapura dijatuhi hukuman itu pada Selasa (23 Mac) selepas memberi alasan tertekan dengan pengajiannya di peringkat sarjana.

Apalah malang nasib ibunya diperlaku terlalu sadis dengan deraan fizikal dan mental oleh anak yang dikandung sembilan bulan 10 hari.

Ibunya yang berusia 68 tahun, dipukul dengan mangga besi pada alat kelamin, malah tidak diberi makan bermula tahun 2017.

Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah tentang butiran-butiran baru mengenai penderaan Andy Koh Ju Hua terhadap ibunya, yang dikemukakan dalam satu laporan baharu.

Setahun kemudian dia terus menyasarkan ibunya dengan alasan tertekan dengan tugasan pengajian yang perlu dilakukan.

Menurut ibu Koh, bahagian sulitnya menjadi sasaran apabila kemarahan melanda diri anaknya menyebabkan kecederaan pada bahagian itu, kerana boleh disembunyikan daripada pandangan orang,  kata Timbalan Pendakwa Raya Magdalene Huang.

Dalam satu kejadian, setelah menumbuk muka ibunya yang berusia 68 tahun, Koh menyuruh wanita itu berdiri di tepi singki sambil memegang sebungkus ais pada mukanya dari 6.30 petang hingga 6.30 pagi. Dia terus mengawasi ibunya dari biliknya, mengancam akan memukulnya jika wanita itu menurunkan tangannya. Dia juga memukul kepala ibunya menggunakan alat kawalan jauh, meninggalkan parut pada muka ibunya.

Selama bertahun-tahun, Koh juga bijak menyembunyikan kejadian dan memastikan perbuatannya  itu tidak terbongkar.

Dia tidak membenarkan ibunya membuka pintu kerana tidak mahu dilihat oleh jiran, dan menyuruh ibunya bersembunyi di tangga atau berundur jika jiran datang. Dia juga mengarahkan ibunya supaya hanya memakai pakaian lama dan yang sudah koyak supaya sukar untuk wanita itu melarikan diri dan meminta pertolongan.

Cik Huang turut mengongsi butiran-butiran lain untuk meminta hukuman penjara selama 50 minggu berbanding hukuman penjara 30 minggu yang diusulkannya sebelum ini.

Dalam hujahan balas, Koh bertanya sama ada dia boleh dihukum penjara 30 minggu kerana dia “merancang untuk meneruskan dan menamatkan pengajiannya”. Menurut Koh, dia cuma tinggal enam bulan dari tamat pengajian peringkat sarjana.

Bagaimanapun difahamkan, Universiti Nasional Singapura (NUS) sebelum ini menyatakan bahawa Koh tidak lagi bersama universiti itu. Dia mengambil cuti pada Ogos 2019 dan tidak kembali belajar setelah cuti itu tamat. Dengan itu, pengajiannya di peringkat sarjana ditamatkan pada Januari, menurut NUS.

Koh, yang ditahan reman, pada Selasa berkata bahawa dia sedang menjalani rawatan psikologi dan mahu disatukan semula dengan ibunya pada masa akan datang.

“Mengenai semua perkara bodoh yang telah saya lakukan padanya – saya mengaku bersalah. Saya juga tidak tahu mengapa saya tergamak melakukan semua perkara bodoh itu terhadapnya. Saya perlu menjalani rawatan psikotik,” kata Koh semasa ditahan reman. – KOH / ANAK

“Doktor  telah memberi saya ubat antipsikotik, jadi saya perlu rawat diri sendiri. Setelah sembuh, saya berharap dapat disatukan semula dengan ibu saya. Saya mahu hidup bahagia bersamanya dan saya mahu menjaganya sedang dia meniti usia senjanya.”

Koh mengaku bersalah minggu lalu atas empat tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja, dengan salah satu daripadanya di bawah peruntukan yang baru dipertingkatkan untuk mangsa dalam hubungan rapat dengan tertuduh.

Hakim Daerah Kessler Soh bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa tempoh penjara yang panjang adalah wajar setelah mengambil kira faktor-faktor buruk dalam kes tersebut.  Hakim Soh, berkata tempoh hukuman keseluruhan itu juga mesti untuk menggambarkan sejauh mana kesakitan, penderitaan dan kecederaan yang dirasai ibunya sendiri.

Beliau juga menimbangkan penilaian seorang ahli psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) bahawa kesalahan Koh berkemungkinan besar dipengaruhi oleh gejala psikotik semasa melakukan kesalahan.

“Ini adalah kes yang menimbulkan banyak keresahan orang ramai. Kami tidak dapat memahami bagaimana (Koh) tergamak menyerang ibunya sendiri dengan sebegitu kejam. Beliau menambah cara Koh menyerang ibunya “sangat menjijikkan” dan dia perlu dihukum mengikut undang-undang. Dia juga menekankan bahawa perlu bagi Koh untuk menerima rawatan bagi mengurangkan risiko dia mengulangi kesalahan setelah dibebaskan kelak – Hakim Daerah Kessler Soh

-CNA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button